Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perkasa pertikai lantikan Adun DAP dalam Yadim
Diterbitkan:  Jan 29, 2019 8:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) terus menjadi pertikaian.

Kali ini giliran kumpulan pendesak Melayu Perkasa mempersoal relevan pelantikan Sheikh Omar Ali yang didakwa mempunyai pemikiran liberal kerana sanggup bersekongkol dengan dasar DAP.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara seorang ahli DAP yang pimpinannya kebanyakannya dikuasai bangsa cina dilantik menganggotai lembaga pengarah sebuah agensi Islam yang berteraskan dakwah.

"Persoalannya timbul bukan isu kelayakan akademi walaupun menggunung ijazahnya dalam bidang pengajian Islam tetapi ia lebih signifikan tentang pemikiran dan perjuangan liberal beliau sehingga sanggup bersengkokol dasar parti DAP.

"Sebagai ahli DAP iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH), Perkasa yakin perlantikan beliau bukan kerana isu kelayakan akademik sahaja yang menjadi hujah tetapi dalam masa yang sama mengambil kira kesepakatan PH.

"Justeru, bagaimana ahli sebuah parti DAP yang sangat rasis dan terkenal dengan dasar anti-Islam dengan slogan 'Malaysia Malaysian' boleh dilantik dalam agensi Islam berteraskan dakwah," soal Naib Presiden Perkasa, Hassan Basri Muhammad dalam satu kenyataan hari ini.

Pemegang ijazah usuluddin

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof mengesahkan pelantikan Adun Paloh dari Johor itu sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim.

Mujahid berkata pelantikan Adun DAP itu tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakannya selaku pemegang ijazah bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Ia kemudiannya mengundang reaksi bekas yang dipertua YADIM, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tampil mempersoal pelantikan itu. Beliau berkata DAP secara konsisten tidak mahu mengiktiraf Islam sebagai agama bagi negara ini.

"Apa tujuan YB Dr Mujahid Yusof Rawa melantik Adun DAP sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim sedangkan DAP adalah parti yang tidak pernah mahu iktiraf Islam sebagai agama negara, malah konsisten sejak penubuhannya sehingga kini mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular," tulis Asyraf melalui satu hantaran di Facebooknya.

Sementara itu Hassan berkata, dasar DAP yang anti-Islam cukup jelas dan boleh dipetik daripada banyak kenyataan-kenyataan pemimpinnya.

"Kebobrokan dan anti-Islam DAP akan terselah sekiranya isu ini dibicarakan di mahkamah apabila YB Teresa Kok hendak menyaman Pemuda PAS yang menuduh DAP anti-Islam dan Pemuda PAS bersedia untuk disaman.

"Justeru penentangan Perkasa atas pelantikan Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim bukan atas latar belakang akademik beliau tetapi yang dibimbangi pasti pandangannya lebih kepada kehendak DAP yang anti-Islam," jelas beliau lagi.

Lihat Komen
ADS