Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM gesa firma guaman bawa Stadlen ke Malaysia

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggesa firma guaman yang mewakili Paul Stadlen - bekas perunding media Najib Razak - untuk membawanya ke Malaysia bagi membantu siasatan.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata itulah yang sepatutnya dilakukan firma tersebut, bukannya mengulas kes Stadlen di media.

"Beritahu dia untuk kembali ke Malaysia. Tak perlu cakap banyak (tentang tindakan pihak berkuasa terhadap Stadlen).

"Saya minta peguam dia (Stadlen) bawa dia ke sini...Datang jumpa kami," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Azam mengulas kenyataan media oleh peguam Stadlen, Kevin Gold pada 21 Februari lalu. Gold daripada firma guaman terkemuka di London, Mishcon de Reya.

Dalam kenyataan itu, Gold mendakwa Stadlen "terperangkap dalam tindak balas politik terhadap Najib", susulan pendakwaan tanpa kehadiran dan pengeluaran waran tangkap terhadap Stadlen untuk tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Turut didakwa dalam kes itu adalah peguam Umno Hafarizam Harun, yang didakwa di mahkamah Khamis lalu.

Najib kemudian menolak pertuduhan pengubahan wang haram itu dan berkata RM15 juta tersebut adalah bayaran terhadap syarikat Stadlen untuk "kerja selama beberapa tahun".

Stadlen merupakan penasihat media Najib ketika beliau menjadi perdana menteri.

Pada November lalu, Azam berkata SPRM sedang memburunya bagi membantu siasatan terhadap skandal 1MDB dan dia telah meninggalkan Malaysia sebelum PRU 9 Mei lalu.

Lihat Komen
ADS