Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Peguam negara mungkin memiliki kuasa budi bicara yang luas sama ada untuk meneruskan dakwaan atau tidak tetapi ia bukanlah bersifat mutlak, kata seorang peguam senior.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili warga Vietnam Doan Thi Huong dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, berkata Peguam Negara Tommy Thomas perlu menjelaskan keputusannya untuk menolak permohonan pengguguran pendakwaan terhadap anak guamnya.

"Saya setuju bahawa peguam negara ada kuasa budi bicara yang luas, tetapi kuasanya tidak mutlak. Peguam negara tiada kuasa mutlak.

"Hadnya adalah beliau perlu menggunakan budi bicara secara adil dan saksama," kata Hisyam ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan peguam senior Shaharudin Ali semalam bahawa Thomas telah menggunakan budi bicaranya dalam mengarahkan dakwaan bunuh terhadap warga Indonesia Siti Aisyah digugurkan.

“Kepentingan strategik antara dua negara tiada kena mengena dengan undang-undang tetapi kuasa ini memang ada dalam tangan peguam negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Siti Aisyah dan Doan, 30, serta empat lagi didakwa bersama atas tuduhan membunuh Jong-nam, abang tiri kepada Presiden Korea Utara Kim Jong-un. Kejadian itu berlaku pada 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Ogos lalu, mahkamah tinggi mengarahkan kedua-duanya membela diri.

Thomas berkata dakwaan terhadap Siti Aisyah digugurkan atas permintaan kerajaan Indonesia.

Bagaimanapun, usaha untuk menggugurkan dakwaan terhadap Doan gagal.

Dengan mengambil kira perkembangan terbaru itu, Hisyam menggesa Thomas untuk menjelaskan sebab pengguguran dakwaan Siti Aisyah dan penolakan permohonan pihak Doan.

"Kami berminat untuk mendengar respons pegua negara berkenaan perbezaan antara kes (Siti Aisyah dan Doan).

"Beritahu kami asas budi bicara anda," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS