Sarawak Tribune siar karikatur hina Nabi dua kali
Akhbar Sarawak Tribune yang digantung penerbitannya oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negari (KKDN) kerana menyiarkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w pada 4 Februari lalu sebenarnya menyiarkan lakaran itu sebanyak dua kali pada minggu yang sama awal bulan ini.
Akhbar Sarawak Tribune yang digantung penerbitannya oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negari (KKDN) kerana menyiarkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w pada 4 Februari lalu sebenarnya menyiarkan lakaran itu sebanyak dua kali pada minggu yang sama awal bulan ini.
Pendedahan mengejutkan ini datangnya dari editor yang disingkirkan, Lester Melany. Lester meletakkan jawatannya setelah mengaku bertanggungjawab terhadap penyiaran karikatur tersebut yang sebelum itu telah membangkitklan kemarahan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia dan Indonesia.
Akhbar Sarawak Tribune didapati turut menyiarkan karikatur tersebut pada 2 Februari. Seorang editor lain mengendalikan penyiaran pertama tersebut.
Menurut Lester, ketika disiarkan pada 2 Februari, beliau tidak bertugas dan hanya menyedari penyiaran yang pertama itu tersebut selepas 4 Februari.
Malaysiakini
telah dimaklumkan nama editor yang bertugas pada 2 Februari itu.
Lakaran pada 2 Februari itu disiarkan bersama sebuah rencana bertajuk 'Denmak PM tries to curb Muhammad cartoon damage' yang disiarkan di mukasurat 9 akhbar berkenaan, dalam seksyen luar negaranya.
Bagaimanapun pengurusan Sarawak Tribune telah meletakkan seluruh tanggungjawab terhadap penyiaran karikatur tersebut pada Lester dan tidak menyebut langsung tentang penyiaran kali pertama pada 2 Februari itu.
Lester memberitahu malaysiakini , dia hanya mengetahui tentang penyiaran kali pertama itu apabila diberitahu mengenainya oleh seorang bekas rakan sekerjanya sehari selepas dia meletakkan jawatannya.
"Beberapa bekas rakan sekerja menghubungi saya dan memberitahu karikatur yang sama telah disiarkan pada 2 Februari lalu," katanya.
Beliau bagaimanpun tidak bercakap mengenai perkara itu ketika di soalsiasat oleh para pegawai Cawangan Khas di rumahnya Isnin lalu.
"Para pegawai itu hanya bertanya mengenai penyiaran pada 4 Februari itu. Saya tidak membangkitkan soal penyiaran kali pertama itu kerana tidak mahu menegangkan lagi keadaan,"jelasnya.
Sementara itu seorang pegawai kanan Sarawak Tribune yang tidak mahu dikenali memberitahu malaysiakini, dia hanya mengetahui tentang penyiaran kali pertama itu dari pihak polis.
Katanya, pegawai KKDN tidak menyentuh tentang perkara itu dalam pertemuan dengan pengurusan dan kakitangan editorial akhbar tersebut.
Bagaimanapun para pegawai Sarawak Press Sdn Bhd, pemilik permit Sarawak Tribune dan Utusan Sarawak tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

