Banjir di Terengganu bertambah buruk
Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk, terutama di Kemaman, apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di negeri ini meningkat kepada 4,174 orang pagi ini berbanding 1,240 orang petang semalam.
Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk, terutama di Kemaman, apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di negeri ini meningkat kepada 4,174 orang pagi ini berbanding 1,240 orang petang semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Farid Mahmud berkata mangsa yang dipindahkan di Kemaman meningkat kepada 3,268 orang iaitu bertambah seramai 2,721 orang berbanding 547 orang pada petang semalam.
"Kebanyakan mangsa dipindahkan bukan kerana limpahan air sungai tetapi kerana air dari hulu turun menyebabkan kawasan bawah dinaiki air," katanya di Kuala Terengganu.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata kebanyakan mangsa yang berpindah di Kemaman terdiri daripada penduduk di kawasan Cukai, Sungai Pinang, Bukit Mentok, Teladas Air Putih dan kawasan-kawasan sekitarnya.
Farid berkata di Dungun juga jumlah mangsa meningkat daripada 529 orang petang semalam kepada 814 orang pagi ini.
Kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Dungun ialah Kampung Neram Jerangau, Kampung Padang Pin, Kampung Surau, Kampung Pancor, Kampung Wa, Kampung Paya Besar, Kampung Pinang Baru dan Kampung Burung Baru Paya Kemudi.
Farid berkata di Hulu Terengganu pula, keadaan beransur pulih apabila jumlah mangsa semakin menurun pagi ini.
Beliau berkata mangsa yang masih berada di pusat pemindahan di daerah itu ialah 92 orang apabila 72 orang dibenarkan pulang malam tadi.
Katanya jalan utama iaitu jalan Jerangau-Jabor masih lagi ditutup kepada semua kenderaan kerana pembetung di Km73 pecah manakala di Km74 berlaku kejadian tanah mendap.
Farid berkata hanya sebatang sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu di Jambatan Jerangau, Dungun apabila air meningkat kepada 13.93 meter pagi ini berbading paras bahaya 12.5 meter.

