Adenan Satem ganti Taib Mahmud?
Terjemahan Tokoh politik Sarawak, Datuk Adenan Satem menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam dan beliau dijangka menyertai kabinet Sarawak, kata seorang ahli keluarga terdekatnya.
Adenan, 63, melepaskan jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam rombakan kecil kabinet yang diumumkan oleh Abdullah semalam.
Beliau adalah Naib Presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diketuai oleh Ketua Menteri, Tan Seri Abdul Taib Mahmud.
Anggota keluarga terdekat yang tidak mahu dikenali itu berkata, Adenan dijangka mengambilalih jawatan Ketua Menteri Sarawak apabila Taib mengundurkan diri.
Untuk sementara ini, beliau dijangka dilantik sebagai seorang menteri kerajaan negeri, yang kemungkinan besar bertanggungjawab terhadap potfolio tanah dan perhutanan.
"Memang telah dipersetujui dari awal lagi sejak dua tahun lalu khidmatnya di Kuala Lumpur adalah sementara sahaja dan beliau akan kembali ke dalam politik negeri ini," kata sumber itu lagi.
Adenan adalah menteri kanan negeri Sarawak sebelum memegang jawatan menteri pusat.
Khabar-khabar angin tentang peletakan jawatannya bertiup kencang di Kuching sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihanraya menjalankan latihan pilihanraya di negeri itu awal tahun ini. Program latihan itu dijangka berakhir akhir bulan ini.
Terdapat spekulasi yang Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibuburkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan pada musim cuti sekolah bulan depan.
Lawatan PM
Minggu lalu Perdana Menteri melawat Taib yang baru balik daripada menjalani rawatan di luar negara di kediamannya di Kuching. Pemerhati menyifatkan kunjungan Abdullah itu bukan sekadar lawatan biasa tetapi turut membincangkan soal kepentingan negeri dan nasional.
Setahun lalu, timbul spekulasi bahawa kabinet negeri Sarawak akan dirombak bagi membolehkan Timbalan Presiden PBB, Abang Johari Tun Openg, yang kini menjadi Menteri Perumahan. diberikan peranan yang lebih besar iaitu potfolio kewangan atau kemudahan awam.
Ia dikatakan sebagai sebahagaian daripada usaha untuk mengurangkan kesan negatif yang mungkin muncul akibat kepulangan Adenan ke kabinet negeri itu.
Malah kini ada cakap-cakap mengatakan Abang Johari mungkin dilantik sebagai Senator dan akan dilantik sebagai seorang menteri pusat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Adenan.
Seorang lagi tokoh utama PBB yang turut disebut-sebut akan terbabit dalam perubahan itu ialah bendahari parti, Awang Tengah Ali Hasan yang juga pembantu menteri perancangan sumber.
Pemerhati politik juga tidak menolak kemungkinan beliau dibawa ke pusat.
Jumpa Taib
Sementara itu, Bernama melaporkan, Adenan menemui Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud lebih dua jam di Kuching hari ini tetapi enggan mengulas sama ada beliau dilantik pemangku Ketua Menteri.
"Tidak ada komen," katanya ketika ditanya mengenai ura-ura bahawa beliau akan dilantik pemangku Ketua Menteri.
Adenan tiba di pejabat Abdul Taib pada jam 10.30 pagi tadi dan berada di situ sehingga 12.40 tengah hari.
Katanya Abdul Taib telah memberikan nasihat kepada beliau mengenai hal politik.
"Ia ada kaitan dengan pilihan raya negeri nanti," katanya.
Adenan, yang juga naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mengulangi kenyataannya semalam bahawa beliau berhasrat melawat ke seluruh Sarawak untuk menemui rakyat tidak lama lagi.
Katanya, lawatan itu juga sebahagian daripada persiapan menjelang pilihanraya negeri yang dijangka diadakan tahun ini.

