Dr. Nik Zain: Orang politik perlu berniaga
Orang politik perlu membabitkan diri dengan perniagaan bagi membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan, kata pemilik syarikat perkapalan Nepline Berhad, Datuk Dr. Nik Mohd Zain Omar.
Orang politik perlu membabitkan diri dengan perniagaan bagi membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan, kata pemilik syarikat perkapalan Nepline Berhad, Datuk Dr. Nik Mohd Zain Omar.
Tegasnya, dengan adanya sumber kewangan yang cukup, lebih mudah pemimpin menghulurkan bantuan kepada orang ramai terutama golongan miskin.
Dr Nik Mohd Zain berkata, tanpa perniagaan, pendapatan orang politik tidak mencukupi untuk membantu orang miskin.
"Perbelanjaan ini bertambah jika di kawasan yang mereka wakili ramai penduduk miskin," kata Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa kepada malaysiakini.
Berikut temuramah penuh beliau dengan malaysiakini yang diadakan di pejabatnya di ibu negara baru-baru ini.
MK: Mengapakah ramai pemimpin politik terbabit dengan perniagaan?
NMZ: Berapa banyakkah gaji orang politik. Katakan RM10,000 sebulan. Bandingkan dengan 100,000 penduduk yang mereka wakili dan 10,000 adalah golongan miskin. Jadi berapa banyakkah wang yang diperlukan untuk membantu mereka?
Anda perlu ingat bahawa tanggungjawab pemimpin politik besar dan sekaligus memerlukan perbelanjaan yang banyak terutama jika kawasan yang diwakilinya itu luas. Apatah lagi sekiranya di kawasan berkenaan mempunyai ramai penduduk miskin.
Di kawasan yang saya wakili - Pengkalan Chepa - begitu ramai penduduk miskin dan yang memerlukan bantuan. Menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka. Bantuan yang mereka perlukan meliputi yuran sekolah, membaiki rumah, makanan dan sebagainya.
MK: Adakah pemimpin politik menggunakan jawatan politik untuk mendapat peluang perniagaan dan kontrak kerajaan?
NMZ: Ramai yang berniaga sebelum mereka mendapat jawatan dalam politik. Tidak timbul persoalan orang politik mengejar kontrak kerajaan. Mereka berniaga walaupun tidak menjadi ahli politik.
MK: Bagaimana Datuk membahagikan masa di antara perniagaan dengan jawatan dalam politik di Kelantan?
Empat hari dari Isnin hingga Khamis, saya menguruskan perniagaan manakala hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saya berada di kawasan saya. Mengenai perniagaan, kakitangan syarikat boleh menghantar berita melalui e-mail kepada saya.
Ini bermakna selama tiga hari saya mendekati rakyat di Kelantan. Saya bersama ahli Umno bahagian akan meninjau penduduk setempat. Dalam hal ini, saya tidak memilih fahaman politik. Saya memberi bantuan tidak mengira parti...jika miskin saya beri. Malah saya juga boleh minum kopi dengan penyokong PAS.
MK: Bagaimana pengaruh bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali (gambar kanan) dan beberapa orang kuatnya di negeri Kelantan?
NMZ: Pengaruh mereka sudah berkubur kerana orang sudah tahu arah hala tuju perjuangan mereka. Satu ketika dulu mereka mengaut kekayaan melalui Umno tetapi kini menentang Umno. Rakyat tidak boleh menerima cara begini.
MK: Apakah ciri-ciri pemimpin yang diperlukan oleh rakyat Kelantan?
NMZ: Seorang pemimpin perlu jujur, bertanggungjawab, tidak sombong dan berjiwa rakyat. Mereka tidak memandang harta benda tetapi keikhlasan seseorang pemimpin.
MK: Mengapa begitu ramai penduduk Kelantan yang berhijrah.?
NMZ: Apa yang ada di Kelantan? Kelantan merupakan negeri miskin. Mereka berhijrah ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Singapura untuk mencari rezeki dan penghidupan yang lebih baik.
Apabila mereka berhijrah ramai yang menempa kejayaan, ada yang jadi usahawan, pegawai tinggi kerajaan dan sebagainya. Sebenarnya mereka boleh menjadi contoh kepada orang Melayu lain.
MK: Apakah yang telah Datuk lakukan sejak menjadi Ketua Bahagian Pengkalan Chepa dalam tempoh beberapa tahun lalu?
NMZ: Penduduk kawasan ini ramai miskin dan saya membantu setakat termampu. Untuk memudahkan memberi bantuan, saya telah menubuhkan Yayasan Seri Jasna. Melalui yayasan ini bantuan untuk penduduk diselaraskan.
Yayasan ini juga membina masjid dan surau untuk penduduk kampung. Saya memasuki politik untuk membantu rakyat. Oleh kerana saya mendapat sedikit kekayaan, tiba masa saya membantu orang miskin pula.
MK: Bagaimanakah sokongan rakyat Kelantan secara keseluruhannya kepada Umno sejak kebelakangan ini?
NMZ: Umno berjuang untuk rakyat, PAS berjuang untuk kepentingan sendiri. Sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, sokongan rakyat Kelantan kepada Umno meningkat dengan banyak.
MK: Di kawasan Pengkalan Chepa sendiri mengapa Umno gagal menawan kerusi parlimen tersebut?
NMZ: Ada dua orang kuat PAS di kawasan ini. Pertama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Kedua Naib Presiden PAS, Husam Musa(gambar kiri). Penduduk sangat mengagung-agungkan Nik Aziz
Orang tua pula susah hendak menerima parti lain selain PAS. Bagaimanapun, angin perubahan sudah mula bertiup dan semakin hari semakin kencang. Saya yakin lambat laun Umno akan berjaya merampas kerusi parlimen ini.
MK: Bagaimanakah caranya Umno boleh memberi keyakinan kepada rakyat Kelantan supaya menyokong parti itu?
NMZ: Kelantan memerlukan pembangunan dan pembangunan pula hanya boleh dibuat oleh Umno. Memang menjadi hasrat Umno untuk mengurangkan kemiskinan di negeri itu. Kita tidak jemu-jemu membantu rakyat Kelantan.
Saya harap rakyat merasa yakin dengan projek-projek yang dibuat oleh Umno. Kerajaan Pusat tidak mengabaikan pembangunan rakyat negeri ini. Dan sudah tentu lebih banyak yang dapat dibantu jika Umno yang memerintah Kelantan.

