Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokasi baru bazar Ramadan: Beri peluang pada DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diberi peluang melaksanakan rancangan memindahkan operasi Bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India ke Jalan Raja di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan rancangan DBKL tersebut, pada masa sama ada kumpulan lain menyokong cadangan berkenaan.

“Pada hakikatnya perkara ini diambil kira oleh DBKL dan mereka pun ada perbincangan dengan pihak berkenaan.

“Dakwaan kononnya pemindahan bazar terbabit ke Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad boleh mengotorkan bangunan warisan berkenaan, ia sebenarnya tidak menjadi masalah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

DBKL sebelum ini berkata operasi Bazar Ramadan Lorong TAR dan Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya pada tahun ini bakal dipindahkan ke Jalan Raja iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata lokasi bazar Ramadan itu akan bermula dari lampu isyarat persimpangan Jalan Gereja hingga ke lampu isyarat persimpangan Lebuh Pasar Besar.

Ia merangkumi jarak sepanjang 0.2km dan selebar 12 meter.

Bagaimanapun, keputusan DBKL itu menerima bantahan daripada golongan penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kononnya ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk kebersihan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau terbuka dengan semua pandangan berhubung perkara terbabit dan sedia meneruskan perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Kerajaan mengambil kira semua cadangan namun apa yang penting ialah perlu memberi peluang kepada DBKL melaksanakan perancangan mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS