Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Elak rampasan kuasa melalui 'deep state'

Menteri Luar Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa kerajaan yang dipilih rakyat harus dipertahankan daripada "daulah terpendam" yang ingin menjatuhkannya melalui cara tidak demokratik.

Istileh deep state atau daulah terpendam merujuk kepada "negara dalam negara" yang memiliki agenda di luar kerangka politik nasional.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu bahawa terdapat usaha agar Raja-raja Melayu menandatangani perintah  menentangnya berikutan keputusan kerajaan untuk meratisikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menurut Saifuddin keadaan yang sama pernah terjadi di sebuah negara di Asia dan boleh berlaku di negara ini.

"Ada sebuah negara yang tidak pernah berlaku transisi demokratik, berlaku satu pilihan raya selepas kebangkitan rakyat, seorang presiden dipilih. Dan presiden itu dianggap the first elected democratically president and he formed the government (presiden pertama yang dipilih secara demokratik dan dia telah membentuk kerajaan).

"Dalam masa setahun seorang jeneral mengetuai satu rampasan kuasa dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

"Kenyataan Dr M, kerisauan saya perkara sedemikian boleh berlaku di negara ini. Kita mesti elakkan perkara ini berlaku. Kita harus mempertahankan kebangkitan rakyat dan pilihan raya rakyat," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Saifuddin berkata peralihan kuasa dalam mana-mana negara adalah lumrah tetapi mesti dilakukan dalam proses demokrasi.

"Yang harus dielakkan adalah rampasan kuasa atau coup d'etrat oleh deep state atau apparatus yang tidak demokratik," katanya.

Jumaat lalu Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan bantahan terutamanya dari Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail mendakwa Statut Rom yang mentadbir ICC dalam mengendalikan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan akan mengancam kedudukan Yang Di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam.

Mahathir berkata langkah itu bukan kerana perjanjian antarabangsa itu merupakan ancaman tetapi disebabkan kekeliruan oleh "orang tertentu yang mahu bebas memukul orang".

"Dan jika dia memukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya, saya tidak peduli siapa dia," katanya.

Mahathir juga mendakwa terdapat usaha untuk melibatkan Raja-raja bagi menandatangani perintah menentang kerajaan. 


Baca: 'Sebab ada orang nak memukul sesuka hati' - Transkrip penuh Dr M


Semalam, bakal pengganti Mahathir, Anwar Ibrahim ketika ditanya sama ada perdana menteri mungkin merujuk kepada mana-mana ahli politik, berkata ia sebenarnya "personaliti tertentu dari keluarga diraja".

Anwar berkata beliau pasti kerana telah bertemu Mahathir untuk membincangkan perkara itu.

Saifuddin berkata beliau telah menjelaskan Statut Rom dengan panjang lebar dan mengkritik mereka yang didakwa telah "memanipulasi fakta".

"Saya telah jawab dalam parlimen, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dua kali.

"Kita mendapatkan pandangan daripada pakar, antaranya peguam negara, pakar perlembagaan persekutuan yang terkenal Dr Shad Faruqi.

"Masalah timbul, ada beberapa orang ahli akademik atau peguam atau mereka yang dianggap pakar dan mereka bukan tak tahu apa sebenanya ICC, tapi telah manipulasi fakta," katanya.

Beliau sekali lagi mempertahankan bahawa ratisikasi Statut Rom tidak akan mempengaruhi kuasa Raja-raja Melayu dan oleh sebab itu tidak ada keperluan untuk berunding dengan Majlis Raja-raja. 

Lihat Komen
ADS