Projek kuari: Penduduk Yan ambil tindakan undang-undang
Jawatankuasa Bertindak Membantah Projek Kuari Bukit Singkir, Merbok akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Daerah Yan, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dan Jabatan Alam Sekitar kerana meluluskan projek kuari batu di Hutan Simpan Gunung Jerai.
Jawatankuasa Bertindak Membantah Projek Kuari Bukit Singkir, Merbok akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Daerah Yan, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dan Jabatan Alam Sekitar kerana meluluskan projek kuari batu di Hutan Simpan Gunung Jerai.
Timbalan Pengerusi jawatankuasa bertindak itu, Azizan Osman berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahankan hak dan langkah pencegahan terhadap alam sekitar dan kesan kepada sosioekonomi penduduk.
Katanya, penduduk sejak sekian lama menegaskan bahawa projek ini perlu dihentikan tetapi sebaliknya diluluskan walaupun bertentangan dengan undang-undang.
"Beberapa penduduk setempat telah setuju untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak-pihak yang terbabit yang meluluskan projek tersebut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azizan berkata, peguam jawatankuasa penduduk telah memulakan prosiding undang-undang terhadap piha-pihak berkenaan.
Tanah kerajaan
Katanya, tindakan itu diambil berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada 21 September 2001 yang memberi projek tersebut kepada Syarikat Kemelong dan Sangkojaya Construction Sdn Bhd.
Beliau berkata, syarikat tersebut diberi kelulusan 100 ekar tanah kerajaan di kompartment 16 Hutan Simpan Gunung Jerai dalam mukim Singkir Darat, Yan.
Katanya, geran tanah juga telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan ia bertentangan dengan cadangan Pelan Struktur Majlis Daerah Yan 1995-2020.
"Jabatan Alam Sekitar juga didakwa kerana memberi kelulusan kesan alam sekitar (EIA) di kawasan sensitif pada 31 Oktober tahun lalu kerana cadangan projek kuari bertentang dengan Pelan Struktur Majlis Daerah Yan 1995-2020," katanya.
Azizan berkata, pihak Majlis Daerah Yan didakwa sebagai pihak yang bertanggungjawab memberi kebenaran merancang dan membangunkan kawasan terbabit yang bertentangan dengan pelan struktur majlis.
Katanya, pelan strukur tersebut telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri pada 3 Jun 1997 dan mendapat persetujuan pihak berkuasa negeri pada 15 Oktober tahun yang sama.
Beliau berkata, seterusnya pelan tersebut telah diwartakan sebagai Warta Kerajaan Negeri Kedah pada 1 Januri 1998 dan mempunyai status undang-undang.
Menurutnya, penduduk mahu tindakan undang--undang dijadikan pengajaran terhadap pihak berkuasa supaya tidak mengenepikan peruntukan undang-undang terutama bagi projek yang menguntungkan sebelah pihak.

