Malaysia menggesa Australia memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa bagi merapatkan jurang yang semakin membesar di antara Barat dan dunia Islam berikutan kontroversi yang ada kaitan dengan umat Islam, termasuk isu penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w baru-baru ini.

Semasa berucap di sebuah universiti di Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Australia boleh bersuara dan menyatakan pandangan mereka di peringkat antarabangsa bagi mengubah ubungan antara Barat dan dunia Islam.

"Australia boleh membantu ke arah menamatkan permusuhan dan penentangan pada masa lalu dan kini."

"Australia boleh menyumbang ke arah merintis pembinaan hubungan di antara rakyat dan budaya," kata Abdullah dalam ucapannya selepas dianugerahkan Doktor Kehormat Teknologi daripada Curtin University of Technology, Australia Barat hari ini.

Dalam ucapannya bertajuk "Kepelbagaian Etnik dan Agama Sebagai Satu Sumber Kekuatan bagi Pembinaan Negara" selepas penganugerahan itu, Abdullah yang juga pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam, berkata Australia dan Malaysia boleh menunjukkan contoh dalam perkara mengendalikan masyarakat yang berbilang kaum dan pelbagai agama.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata proses globalisasi dan kemajuan dalam teknologi komunikasi telah mempereratkan hubungan masyarakat dunia.

"Bagaimanapun dunia yang semakin bersepadu itu pada masa yang sama juga telah membuatkan orang merasakan lebih perlu untuk mempertahankan dan menjuarai sistem kepercayaan, nilai dan prinsip mereka," katanya.

Canselor Curtin University Dr Eric Tan menganugerahkan doktor kehormat itu, anugerah tertinggi universiti berkenaan dengan menyerahkan pingat dan sjil pada satu majlis yang diadakan di dewan kuliah Elizabeth Jolly universiti itu.

Abdullah yang diberikan penghormatan sambil berdiri semasa masuk ke dewan kuliah itu, berkata beliau berbesar hati menerima anugerah tertinggi universiti itu, yang dinamakan sempena bekas Perdana Menteri Australia John Curtin (1941-1945).

Yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelajaran Australia Jolie Bishop mewakili Perdana Menteri John Howard dan Menteri Tenaga, Sains dan Inovasi Francis Logan, mewakili Ketua Menteri Australia Barat, Alan Carpenter.

Delegasi Malaysia yang hadir termasuk anak perempuan Abdullah, Nori, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohamed Ali Rustam, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Salim Hashim dan Konsul Besar Malaysia di Perth Ahmad Jazri Mohamed Johar.

Sementara itu dalam satu perutusan khas yang dibacakan Bishop, Howard mengucapkan tahniah kepada Abdullah terhadap penganugerahan doktor kehormat itu yang disifatkannya sebagai suatu yang bermakna ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Howard berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan Abdullah untuk membina persefahaman yang lebih baik di antara kedua-dua negara.

Curtin University mempunyai sebuah cawangan di Miri, Sarawak, yang dinamakan Kampus Curtin Sarawak yang mula beroperasi pada 1999.

Beliau berlepas pulang ke atanahair selepas majlis tersbut.