MIDF kekalkan unjuran positif sektor automotif
MIDF Research mengekalkan pendirian positifnya terhadap sektor automotif berikutan penurunan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam nota hari ini, MIDF berkata keputusan dibuat BNM semalam untuk mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus berpotensi meningkatkan perbelanjaan pengguna.
"Pertumbuhan jumlah dagangan industri (TIV) mempunyai hubungan songsang dengan OPR. Kenaikan OPR mempunyai impak yang lemah terhadap pertumbuhan TIV dan sebaliknya jika OPR diturunkan, dengan mengambil kira pengguna akan berbelanja lebih dan kadar sewa beli pada dasarnya lebih rendah, " katanya.
Pada suku pertama (1Q) tahun 2019, sektor automotif mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak enam peratus, dipacu terutamanya oleh pelancaran kereta kebangsaan baharu, SUV.
Berdasarkan asas yang meningkat, terutamanya pada 3Q18, MIDF bagaimanapun mengunjurkan pertumbuhan TIV bagi 2019 akan mendatar pada 0.2 peratus (kenaikan praOPR).
Ia juga berkata margin pengusaha auto juga mungkin terjejas oleh ringgit yang berpotensi lebih lemah akibat daripada penurunan OPR, walaupun perbelanjaan pengguna berpotensi lebih tinggi (dan berpotensi pada aliran meningkat berbanding unjuran TIV).
Sementara itu, AmInvestment Bank mengekalkan saranan "neutral" ke atas sektor automotif dan percaya penurunan kadar OPR tidak akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor itu, tidak seperti tempoh pengecualian cukai selama tiga bulan pada 2018.
Dalam nota penyelidikan hari ini, AmInvestment berkata industri automotif Malaysia terus berdepan cabaran dengan masih diselubungi beberapa isu
Sektor itu dijangka terus mencabar dalam persekitaran perniagaan kompetitif.
"Kami berharap kepada semakan semula Dasar Automotif Nasional 2019 (NAP 2019) yang dinanti-nantikan dan dijangka diumumkan pada 2Q19 yang akan menentukan hala tuju jangka panjang ekosistem automotif, dan juga termasuk hala tuju pembangunan kereta nasional ketiga," katanya.
Menurut bank, pelarasan OPR bertujuan untuk mengekalkan tahap akomodatif monetari susulan terdapat tanda-tanda kegiatan ekonomi akan menyederhana oleh kelembapan permintaan global dan pertumbuhan rakan kongsi perdagangan utama.
- Bernama

