Presiden PKR perlu lantik Ketua Perhubungan Negeri
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail perlu melantik sendiri Ketua Perhubungan PKR negeri bagi mengelak orang tertentu dalam parti mengambil kesempatan meletakkan orang mereka.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail perlu melantik sendiri Ketua Perhubungan PKR negeri bagi mengelak orang tertentu dalam parti mengambil kesempatan meletakkan orang mereka.
Bekas Ketua Perhubungan PKR Pahang, Mohd Jafri Abdul Rashid berkata, Presiden parti mempunyai kuasa mutlak untuk melantik pemimpin yang dipercayainya.
"Presiden perlu bertanggungjawab terhadap pucuk pimpinan PKR negeri dan untuk itu beliau perlu melantik sendiri ketua perhubungan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pergolakan beberapa pimpinan negeri yang bergolak kerana berlaku campur tangan pemimpin PKR pusat terhadap negeri terbabit.
malaysiakini sebelum ini melaporkan Ketua Perhubungan PKR Kelantan dan Terengganu meletak jawatan berikutan campur tangan dari PKR Pusat.
Bekas Ketua Perhubungan terbabit mendakwa beberapa pemimpin kanan pusat campur tangan kerana mahu meletakkan penyokong mereka menerajui PKR di kedua-dua negeri terbabit.
Jafri yang menjadi Ketua Perhubungan PKR Pahang dari 2001 hingga 2005 berkata, jika tanggungjawab melantik ketua perhubungan PKR negeri dibuat oleh orang lain, ia mungkin dibuat untuk kepentingan peribadi pemimpin berkenaan.
"Saya bimbang fenomena yang berlaku di Kelantan dan Terengganu itu itu akan menular ke negeri-negeri lain juga," kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Chini dari 1999 hingga 2004.
Jawatan Ketua Perhubungan PKR Pahang kini dipegang oleh Zakaria Abdul Hamid sementara Mohd Jafri menjadi salah seorang jawatankuasa peringkat negeri.
Sementara itu, bekas Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Roslan Kassim berkata, Presiden perlu menggunakan kuasanya untuk melantik ketua perhubungan negeri.
Katanya, Majlis Tertinggi (MT) hanya boleh membuat sokongan kepada keputusan yang dibuat oleh presiden.
"Ini bermakna orang lain seperti timbalan dan naib presiden tidak mempunyai hak untuk melantik orang tertentu menjadi ketua perhubungan negeri kerana ia kuasa mutlak Presiden," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya jika MT tidak menyokong pelantikan yang dibuat oleh Presiden ia boleh menimbulkan masalah kepada parti termasuk perebutan jawatan di negeri terbabit.
"Semasa saya memimpin PKR Negeri Sembilan, saya dilantik sendiri oleh Dr Wan Azizah dan mendapat sokongan padu daripada MT," katanya yang kembali ke pangkuan Umno sebelum pilihanraya umum lalu.

