Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pertingkat prasarana matrikulasi dulu, baru tambah pelajar'

Kerajaan sewajarnya memikirkan keupayaan prasarana untuk menampung pelajar matrikulasi sebelum memutuskan penambahan pengambilan kerana dikhuatiri tidak mencukupi bagi menampung tambahan 15,000 pelajar, kata ahli akademik.

Prof Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempersoalkan mengenai jumlah tenaga pengajar dan bilik darjah program tersebut.

“Kerajaan tak fikir ke bila naikkan jumlah (pengambilan) macam mana dengan ruang kolej-kolej itu cukup tak, bagaimana dengan tenaga pengajar - pensyarah cukup tak? Bilik darjah? Nak buat tahun ini juga.

"Memang tergesa-gesa,” katanya.

Menurut Teo lagi, sesebuah negara tidak sepatutnya mempunyai dua sistem yang berbeza merujuk kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi sebagai kelulusan masuk ke universiti awam.

STPM lagi susah 

Katanya, ia juga tidak adil kepada pelajar STPM kerana kurikulum mereka lebih sukar daripada matrikulasi, sedangkan tempoh pengajiannya lebih lama berbanding program matrikulasi.

“Kalau kita kaji dari segi kurrikulum dan pelajaran, memang STPM jauh lebih susah daripada matrikulasi ini kalau dikaji dari segi kurikulum dan sukatan pelajaran.

“Kira apabila kerajaan umumkan jumlah pelajar matrikulasi dinaikkan daripada 25,000 ke 40,000, memang jejaskan (peluang) pelajar STPM ini nak masuk ke IPTA sebab pada puratanya setiap tahun tempat-tempat pelajar di IPTA ini sekitar 45,000 sahaja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selanjutnya, Teo berkata ini bermakna 25,000 pelajar program matrikulasi sedia ada boleh dikatakan semua akan berjaya masuk di universiti, memandangkan peperiksaannya jauh lebih mudah berbanding STPM.

Beliau berkata 40,000 tempat untuk program matrikulasi ini membuatkan peluang lepasan STPM hanya berbaki 5,000 tempat sahaja.

“STPM ini satu peperiksaan yang dikelolakan oleh kerajaan juga. Mengapa macam dianaktirikan? 

"Peluang menjadi sempit kerana cabaran daripada matrikulasi dan mungkin daripada UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu)," katanya.

Pada 6 Mei, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa program matrikulasi diwujudkan sebagai “pintu belakang” buat kaum Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam.

Bagaimanapun, Teo berpendapat, Dr Mahathir tidak sewajarnya menggunakan istilah “pintu belakang” kerana boleh membawa maksud yang buruk.

“Sepatutnya matrikulasi ini istilahnya bukan pintu belakang, ia adalah “saluran khas” untuk pelakar-pelajar Melayu ke IPTA. Ia saluran khas yang sah, tak ada salah pun,” katanya.

Jelasnya lagi, program matrikulasi tertakhluk di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan juga pribumi Sabah dan Sarawak

“Saya rasa orang Melayu tersinggung dengan istilah pintu belakang itu. Ia satu yang menghina sebab jalannya tak betul..seperti perancangan rahsia yang licik sifatnya untuk tolong orang Melayu,” katanya.

Asrama sesak, bilik kuliah tak cukup

Sementara itu, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) pula merasakan Pakatan Harapan perlu menyediakan prasarana yang cukup, seiring dengan pengumuman penambahan kemasukan pelajar ke program tersebut.

“Namun yang menjadi persoalan ialah keupayaan prasarana yang disediakan oleh pihak kementerian.

“Ini bermakna asrama atau kolej akan menjadi lebih sesak, bilik kuliah akan menjadi kurang mencukupi, tenaga pengajar juga diperlukan lebih ramai," katanya.

Awang Azman berkata PH dilihat cuba memenuhi tuntutan etnik lain di Malaysia, dan pada masa sama memastikan kepentingan kaum Bumiputera tidak terjejas.

Namun, katanya, tidak timbul isu mempertikaikan orang Melayu masih memerrlukan bantuan dari segi matrikulasi kerana majoriti kelompok B40 di Malaysia terdiri daripada kaum Melayu yang merupakan etnik terbesar di Malaysia.

“Masih ramai orang Melayu berjaya peperiksaan namun tidak mendapat tempat di matrikulasi.

“Meminggirkan kelompok yang berpendapatan rendah akan menyebabkan masalah sosial, ekonomi dan politik negara.

“Masih ramai juga pelajar Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak masih perlukan bantuan dan akses tersebut,” katanya.

Pada 29 April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan penempatan ke Program Matrikulasi ditambah daripada 25,000 kepada 40,000.

Penambahan itu membolehkan penambahan tempat untuk pelajar bukan Melayu, pada masa sama mengekalkan kuota pengambilan pada tahap 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.

Ia susulan desakan beberapa pemimpin MIC agar kementerian itu menjelaskan status pengambilan khas 2,200 pelajar India ke kolej Matrikulasi yang diamalkan ketika pentadbiran BN, selepas mendakwa sebahagian kuota telah diberikan kepada pelajar Cina.

Lihat Komen
ADS