Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Dr M akui matrikulasi 'pintu belakang' Melayu masuk universiti

WAWANCARA | Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui sistem Matrikulasi memang diwujudkan untuk menjadi "pintu belakang" buat orang Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata ini kerana ramai pelajar Melayu tidak mahu melalui Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) untuk ke pengajian tinggi.

"Kami dapati orang Melayu tak ambil STPM dan mereka tak boleh masuk universiti. Jadi kita buat pintu belakang untuk mereka... Ia (Matrikulasi) diwujudkan sebagai pintu belakang untuk orang Melayu.

"Persoalan kini ramai golongan lain kata (pencapaian) mereka lebih baik tetapi tak boleh masuk Matrikulasi.

"Jadi kita setuju untuk beri juga peluang kepada bukan Melayu. Idea untuk cuba meningkatkan (kemasukan) Melayu di universiti melalui Matrikulasi terbatal kerana orang Cina dan India juga lalu pintu belakang, dan mereka tak puas hati," katanya ketika wawancara khas bersama media di Putrajaya hari ini.

Pada 29 April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan penempatan ke Program Matrikulasi ditambah daripada 25,000 kepada 40,000.

Penambahan itu membolehkan penambahan tempat untuk pelajar bukan Melayu, pada masa sama mengekalkan kuota pengambilan pada tahap 90 peratus bumiputeradan 10 peratus bukan bumiputera.

Ia susulan desakan beberapa pemimpin MIC agar kementerian itu menjelaskan status pengambilan khas 2,200 pelajar India ke kolej Matrikulasi yang diamalkan ketika pentadbiran BN, selepas mendakwa sebahagian kuota telah diberikan kepada pelajar Cina.

Terperangkap dalam isu kaum, agama

Mengulas lanjut berkenaan hubungan kaum dan agama di Malaysia, Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam kebuntuan.

Katanya, orang Melayu menganggap pentadbirannya berpihak kepada orang Melayu dan Islam dan pada masa sama orang Melayu merasakan orang bukan Melayu dilebihkan.

Beliau pengambilan Matrikulasi menjadi contoh kepada keadaan itu.

Misalnya peningkatan pengambilan masih tidak meredakan rasa tidak puas hati sesetengah pihak kerana sistem kuota berasaskan kaum masih kekal.

"Orang merasakan kerajaan melebihkan Melayu. Tetapi jika anda tanya orang Melayu-Islam, mereka akan kata kerajaan tak beri perhatian kepada Islam.

"Kita perlu sentiasa sedar akan perkara itu kerana jika kita tidak tanganinya, kita akan hilang sokongan orang Melayu... Kita akan kalah (pilihan raya).

"Jika PH hilang sokongan Cina, kita juga akan kalah. Malah orang India juga main peranan besar... Jadi kita kena amat berjaga-jaga," katanya lagi.

Lihat Komen