Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad kecewa dengan kawan-kawan yang tidak cuba menemui beliau mengenai projek pembangunan Taman Rimba Kiara sebelum mengkritiknya secara terbuka.

"Saya tidak tahu berapa kali kamu pergi dan berjumpa dengan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), tetapi kamu tidak duduk dan berbincang dengan saya walaupun satu minit.

"Jadi bagaimana kamu boleh mengulas selepas mendengar cerita daripada satu pihak?

"Jika kamu boleh berjumpa dan berbincang banyak kali dengan penduduk, mengapa tidak datang dan berjumpa dengan saya? Datang sekali cukup dan saya boleh terangkan kepada kamu dan tunjukkan kamu semua dokumen.

"Ini sangat mengecewakan kerana kita semua adalah kawan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Khalid mengulas kenyataan bekas presiden Badan Peguam Malaysia, S Ambiga dan Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel yang sering mengeluarkan kenyataan menentang projek pembangunan itu tanpa mendengar penjelasan daripada pihak kementerian.

Sambil mempelawa mereka untuk berjumpa dengannya, katanya beliau bukan cuba untuk bersikap sarkastik, tetapi dia benar-benar ikhlas mahu memberi mereka "jawapan penuh".

 

Menggambarkan situasi itu sebagai "memalukan," Khalid berkata beliau menghormati mereka dan tidak mahu menempelak mereka secara terbuka berhubung fakta mereka.

"Jadi kenapa mereka tidak datang dan berjumpa dengan saya, tetapi mengeluarkan kenyataan di media untuk mengkritik dan menyerang saya?" soalnya.

[Baca berita penuh]

Semenatara itu, Bernama melaporkan keputusan mengenai projek pembangunan Taman Rimba Kiara akan diputuskan dalam mesyuarat kabinet sama ada untuk membayar ganti rugi kepada pemaju atau tetap diteruskan pada skala yang lebih kecil.

"Kertas kabinet kini sedang disiapkan kementerian (Wilayah Persekutuan) untuk diedarkan kepada semua kementerian untuk ulasan dan komen sebelum dapat dibawa ke kabinet yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan,” kata Khalid pada sidang media mengenai projek berkenaan di Putrajaya hari ini.

Mengenai projek berkenaan memerlukan pandangan Peguam Negara Tommy Thomas, Khalid berkata pandangan dan nasihat Peguam Negara pasti turut diambil kira semasa mesyuarat Kabinet itu nanti.

Semalam, Anggota Parlimen Segambut yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata isu projek pembangunan di Taman Rimba Kiara perlu diteliti Peguam Negara sebelum ia dibawa untuk diputuskan di Kabinet.

Khalid dalam pada itu kesal dengan Datuk S Ambiga dan Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel yang sering mengeluarkan kenyataan menentang projek pembangunan itu tanpa mendengar penjelasan daripada pihak kementerian.

“Mereka tidak pernah sekalipun jumpa bertemu saya dan tiba-tiba mereka membantai projek ini, seharusnya mereka datang berjumpa saya dulu dan dengar apa yang saya cuba usahakan," katanya.

Khalid berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membayar ganti rugi kira-kira RM150 juta kepada pemaju sekiranya projek itu dibatalkan dan ia merupakan satu pembaziran kepada dana awam.

"Saya bukan mahu melindungi hak pemaju seperti didakwa sesetengah pihak, tetapi saya mahu menyelamatkan dana awam kerana duit yang saya mahu jimatkan ini adalah duit awam dan saya tidak mahu duit DBKL tidak digunakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Khalid berkata beliau memilih untuk menyelesaikan isu melalui perundingan dengan pemaju, yang mana pemaju telah bersetuju mengurangkan sebanyak 50 peratus daripada pelan pembangunan asal mereka.

“Dari tanah seluas 12 ekar asal milik pemaju, mereka sanggup kembalikan empat ekar untuk rumah panjang. Lagi lapan ekar, separuh daripadanya dikembalikan kepada taman tersebut.

“Malah daripada perintah pembangunan asal mereka dapat untuk bina lapan blok dengan ketinggian 51 tingkat namun mereka setuju kurangkan kepada empat blok dengan ketinggian 45 tingkat,” katanya.