Stesen televisyen TV3 dan ntv7 memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad S.A.W secara tidak sengaja dalam segmen berita masing-masing pada 3 Februari lalu.

Permohoinan maaf TV3 itu dibuat menerusi segmen Buletin Utama malam tadi manakala ntv7 mengeluarkan kenyatan media yang diedarkan kepada semua media.

Dalam kenyataan masing-masing, kedua-dua stesen televisyen milik kumpulan Media Prima itu menyatakan rasa amat kesal kerana secara tidak sengaja menyiarkan semula imej karikatur berkenaan dalam segmen berita yang melaporkan tentang kemarahan umat Islam di seluruh dunia terhadap perbuatan biadap akhbar Denmark itu.

TV3 menjelaskan, penyiaran imej karikatur itu menyusuli laporan yang mengecam keras penerbitan karikatur berkenaan oleh akhbar-akhbar Barat.

"Selepas membuat siasatan, kami mendapati visual tersebut diambil secara langsung dari sebuah agensi berita antarabangsa, APTN. Kami mengakui kesilapan tidak menyunting atau memadam bahagian berkenaan terlebih dahulu,"katanya.

Sehubungan itu TV3 memohon maaf kepada semua penonton terutama sekali umat Islam yang mungkin tersinggung dengan kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Surat pada PM

Stesen televisyen itu juga memberitahu sudah menulis surat kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Menteri Tenaga, Air, dan Komunikasi, Datuk Dr Lim Keng Yeik untuk memohon maaf terhadap kesilapan itu.

Stesen ntv7 pula, dalam kenyataannya menyatakan, ia memohon maaf terhadap kesilapan menyiarkan karikatur itu di dalam segmen berita MNN Nasional pada 3 Februari.

Ia mengakui menyiarkan visual berkenaan selama lima saat, yang diperolehi dari agensi berita luara negara, yang antara lain memaparkan seorang lelaki sedang membaca akhbar Denmark, Jyllands Postem .

"Jika langkah kami menyiarkan visual itu menyinggung perasaan atau menimbulkan kemarahan mana-mana pihak, kami dengan rendah diri memohon maaf, khasnya kepada penonton ntv7 dan rakyat Malaysia seluruhnya.

"Kami akui penyiaran visual itu adalah satu kesilapan yang tidak mempunyai sebarang niat," tambahnya.

Sebuah lagi stesen televisyen tempatan, RTM menerusi segmen Berita Mandarin di TV2 turut menyiarkan visual yang sama pada 3 Februari lalu.

Tetapi sehingga kini tiada tindakan mohon maaf dibuat oleh stesen penyiaran kerajaan itu.