BERITA Malaysiakini

Najib cabar Kit Siang debat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas perdana menteri Najib Razak mencabar pengkritik utamanya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang untuk berdebat.

Dalam wawancara Free Malaysia Today, Najib berkata beliau bersedia berdebat pada bila-bila masa, namun berharap Lim memahami jadualnya yang sibuk dengan kes mahkamah yang berterusan.

“Kerajaan PH tidak mahu saya terlalu lapang. Tetapi saya akan meluangkan masa untuk Kit Siang jika dia sedia berdebat.

“Ia boleh jadi perdebatan gaya bebas untuk bercakap. Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB.

"Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Dalam semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran,” katanya.

Ini bukan kali pertama cabaran berdebat melibatkan kedua-dua seteru politik itu.

Pada Julai tahun lalu, Lim mencabar Najib menyertai debat umum bertajuk “Islam bukan kleptokrasi".

Tanpa menyahut secara langsung cabaran itu, Najib membalas dengan berkata Lim sepatutnya menganjurkan debat berhubung manifesto PH.

'Malu Apa Bossku' bukan kempen

Sementara itu, dalam wawancaranya dengan Free Malaysia Today yang disiarkan hari ini, Najib turut mengungkit gelaran 'Menteri Hal Ehwal Najib' yang diberikan kepada Lim yang disifatkan obses terhadapnya.

“Sekiranya dia (Lim) cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat,” tambah Najib.

 

Lim dilihat merupakan pemimpin PH yang paling kerap mengeluarkan kenyataan mengkritik Najib.

Dalam kenyataan terbaru pada 18 Mei lalu, Lim menyifatkan kempen dengan slogan 'Malu Apa Bossku' yang digunakan Najib bertentangan dengan Rukun Negara.

Lim juga mendakwa kempen itu mencabar Pelan Antirasuah Kebangsaan 2019-2023, dan menjadi halangan kepada misi mengubah imej kleptokrat negara.

Mengulas perkara itu, Najib dipetik berkata bahawa slogan 'Malu Apa Bossku' bukan sebuah kempen.

“Mereka sendiri yang buat ayat, mereka sendiri design t-shirt, mereka sendiri buat grafik. Jadi ini suatu yang terbit dari hati nurani orang muda sendiri,” katanya.

Najib juga berkata slogan itu akan berterusan selagi "golongan muda menyukainya”.

“Kalau orang muda rasa sampai masa mereka tidak suka, jadi tak ada lagi, tapi setakat ini Alhamdulilah sambutan ‘Bossku’ ini boleh dikatakan di luar jangkaan sama sekali.

“Tapi saya selalu tekankan apabila orang sebut ‘Bossku’, bukan saya bos tapi rakyat. Rakyat adalah bos,” katanya.