Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas 26 kenyataan, Najib gesa Lim hentikan 'obsesi' padanya
Diterbitkan:  Jul 30, 2018 2:26 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak veteran DAP Lim Kit Siang menghentikan “obsesi” padanya.

Bulan ini sahaja, kata Najib, Lim telah mengeluarkan 26 kenyataan media yang mengkritiknya.

“Agak menarik sebenarnya, biarpun bulan Julai belum sampai ke penghujung, Kit Siang sudah mengeluarkan 26 kenyataan dalam bulan ini sahaja untuk menyerang saya.

“Dia patut hentikan obsesi terhadap saya. Saya bukan lagi perdana menteri ataupun presiden BN,” kata anggota parlimen Pekan.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Najib juga mengulas rancangan Lim untuk mengadakan debat umum bertajuk “Islam bukan kleptokrasi".

“Kit Siang tiada hak untuk membuktikan agama Islam atau mana-mana agama ialah atau bukan kleptokrasi.

“Sudah-sudahlah Kit Siang. Hentikanlah memainkan atau mahu memburukkan mana-mana agama terutama Islam demi nafsu politik anda.

Najib berkata, Kit Siang sepatutnya menganjurkan debat dengan tajuk “Kerajaan Pakatan Harapan dan janji manis” atau “Adakah rakyat ditipu dengan manifesto Pakatan”.

Beliau berkata, Lim patut menumpukan perhatian bagi menjelaskan mengapa masih banyak janji-janji manifesto PRU14 tidak ditunaikan.

Beliau mengingatkan, kini tinggal lagi 20 hari, untuk genap 100 hari untuk menunaikan janji-janji dalam tempoh itu.

Lihat Komen
ADS