Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kempen Malu Apa Bossku menyanggahi Rukun Negara'

KATA MP | Ucapan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-cawangan DAP Kawasan Iskandar Puteri di Skudai pada hari Sabtu 18 Mei 2019 pada jam 9 malam:

Kempen "Malu Apa Bossku" bertentangan dengan Rukun Negara, mencabar Pelan Antirasuah Kebangsaan 2019-2023, dan menjadi halangan kepada misi transformasi negara daripada satu kleptokrat global kepada negara berintegriti terulung.

Sejak beberapa bulan sebelum pilihan raya kecil (PRK) Sandakan 11 Mei yang lalu, laskar siber bekas Najib Razak bertungkus-lumus menjaja satu tema baru.

Cukuplah bercakap mengenai skandal 1MDB dan kleptokrasi Najib, pilihan raya umum ke-14 sudah selesai dan biarkan mahkamah yang tentukan sama ada dia bersalah atau tidak.

Sebaliknya, mari lihat apa yang kerajaan PH berjaya laksanakan untuk menurunkan kos sara hidup dan mereformasikan institusi negara.

Januari tahun ini, laskar siber Najib memulakan kempen "Malu Apa Bossku" tanpa sekelumit rasa malu sedikit pun. Dan yang malang sekali, kempen ini berjaya menawan sebahagian tertentu rakyat Malaysia.

Lantas ia membolehkan gabungan Umno-PAS - dengan sokongan dari belakang tabir MCA dan MIC di Semenanjung Malaysia, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti pembangkang lain di Sabah, serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak - mencatat tiga kemenangan dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Fenomena "Malu Apa Bossku" juga telah memberi galakan kepada anggota parlimen pembangkang untuk menyekat perjalanan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Masih belum mencukupi

Ia merupakan langkah pertama yang penting untuk melaksanakan satu daripada lima janji teras PH dalam PRU ke-14 lalu iaitu "mengembalikan status Sabah dan Sarawak kepada seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963".

Namun begitu, ribut kejayaan kempen "Malu Apa Bossku" hanya berjaya untuk berterusan selama lima bulan apabila ia mati dalam PRK Sandakan pada 11 Mei lalu.

Buat masa ini masa depannya kelihatan kelam selepas dimusnahkan di Sandakan.

Sebenarnya, kempen "Malu Apa Bossku" itu bertentangan dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Ia juga mencabar Pelan Antirasuah Kebangsaan 2019-2023 dan menjadi batu halangan kepada proses transformasi negara daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara terulung yang berintegriti.

Pendedahan daripada skandal 1MDB dan penahanan Najib; isterinya Rosmah Mansor; bekas-bekas menteri seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor; orang besar Umno seperti Musa Aman dan Isa Samad, serta orang kanan Najib seperti Arul Kanda Kandasamy, Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Muhammad Shafie Abdullah, adalah dan bukti keseriusan Malaysia menghapuskan kejelikan dan keburukan sebuah kleptokrasi global.

Namun ia masih belum mencukupi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti yang boleh dijadikan model untuk meletakkan negara bersama 20 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International.

Malaysia pernah tersenarai sebagai negara ke-23 namun menjunam menjadi negara ke-62 dalam tempoh 23 tahun Indeks Persepsi Rasuah diterbitkan sejak 1995. (Buat masa ini, Malaysia merupakan negara yang ke-61 dengan markah 49 daripada 100 untuk 2018.)

Beranikah kita mengimpikan dan berusaha untuk berada dalam kalangan 20 negara teratas Indeks Persepsi Rasuah itu dalam satu dekad yang akan datang?


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen Iskandar Puteri.

Kenyataan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS