Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu secara terbuka menyokong dua penyandang Naib Presiden parti itu, Datuk S. Veerasingham dan Tan Sri K. S. Nijhar, untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Beliau juga menyatakan sokongannya kepada Setiausaha Agungnya, Datuk S. Sothinathan untuk mengisi satu lagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan MIC Jun nanti.

"Mereka adalah ketiga-tiga calon Naib Presiden yang saya rasa patut dipilih," kata Presiden MIC itu, yang dijangka mengekalkan jawatannya untuk rekod penggal yang ke-10 apabila pencalonan presiden diadakan pada Ahad ini.

Adalah perkara biasa Presiden MIC mengemukakan senarai calon yang disokongnya untuk bertanding jawatan di peringkat kebangsaan pada pemilihan MIC, yang diadakan tiga tahun sekali.

Menurut laporan Bernama, parti kaum India terbesar di Malaysia itu akan mengadakan pemilihan presiden pada bulan ini jika ada pertandingan, dan pemilihan jawatan di peringkat nasional -- Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) -- pada Jun nanti.

Lewat tahun lepas pemimpin nombor satu MIC itu berkata beliau mahukan seorang lagi Naib Presiden MIC Datuk G. Palanivel sebagai Timbalan Presiden parti, dengan mengetepikan penyandang jawatan itu Datuk S. Subramaniam, 62.

Bercakap kepada pemberita selepas acara sambutan rasmi Presiden Iran Dr Mahmoud Ahmadinejad di Parliamen, Samy Vellu berkata ketiga-tiga naib presiden yang mendapat sokongan beliau itu masing-masing mempunyai peranan untuk dimainkan demi kebaikan parti dan kaum India di Malaysia.

Beliau berkata Nijhar dalam kapasitinya sebagai Anggota Parlimen Subang, mampu untuk menyuarakan rungutan-rungutan kaum itu di Parlimen sementara yang dua lagi memegang jawatan sebagai timbalan menteri.

Veerasingham ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna manakala Sothinathan ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

"Mereka harus diberikan jawatan itu kerana sesiapa juga yang memegang jawatan dalam kerajaan harus ada sedikit sebanyak kekuatan parti. Sebab itulah saya menyokong mereka," kata Samy Vellu.

Mengenai Sothinathan, yang dikenali dengan panggilan "Sothi" di dalam parti, beliau berkata Setiausaha Agung MIC itu belum pernah bertanding jawatan dalam pemilihan parti sebelum ini dan "kerana itulah saya menyuruhnya bertanding kali ini kerana saya tidak mahu beliau hanya dilantik sepanjang masa."

"Mereka semua harus menguji kekuatan masing-masing. Jika mereka tidak mempunyai kekuatan, ia seperti apabila mereka sudah matang mereka tidak ada pengaruh dalam parti. Ini adalah proses yang harus mereka lalui," katanya.

Senarai jawatankuasa

Samy Vellu, yang mencapai usia 70 pada 8 Mac, berkata beliau telah melalui proses itu sejak 1963 dan ia bukan perkara baru kepada seseorang ahli politik yang sedang meningkat maju.

Ditanya siapa yang akan menggantikan Sothinathan sebagai Setiausaha Agung parti, Samy Vellu berkata beliau belum memutuskan lagi siapa yang akan mengisi jawatan itu.

"Saya belum memutuskan calonnya tetapi terdapat ramai pemimpin muda yang berkebolehan. Kami mahu memberi peluang kepada pemimpin muda kerana mereka mempunyai kebolehan," katanya.

Ditanya sama ada golongan akar umbi dalam MIC dapat menerima ketiga-tiga naib presiden yang beliau calonkan itu, Samy Vellu berkata beliau telah menjalankan kajian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon.

"Saya seorang yang percaya kepada sokongan akar umbi. Setiap hari saya buat kajian. Kajian saya ialah menerusi SMS dan panggilan telefon dan saya juga banyak melawat dan semasa lawatan itu, saya bercakap dengan orang ramai dan bertanya pandangan mereka tentang pilihan saya. Saya tidak mahu memaksakan pandangan saya kepada mereka. Ramai yang menyatakan bahawa mereka akan menyokong calon-calon ini," tambah beliau.

Mengenai Palanivel, Presiden MIC itu berkata beliau telah menyokong Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sejak sekian lama dan beliau memerlukan "seseorang yang boleh bekerja dengan beliau dan seseorang yang boleh diharapkan untuk diserahkan parti kepadanya apabila tiba masa yang sesuai nanti."

Beliau berkata beliau kelak akan mengemukakan senarai calon anggota jawatankuasa pusat parti yang menjadi pilihannya pada satu tarikh lain.

Ditanya mengenai pertandingan tiga jawatan naib presiden berkenaan, beliau berkata beliau tidak akan melarang mana-mana pemimpin MIC yang ingin bertanding jawatan itu kerana larangan seperti itu adalah tidak demokratik.

"Adalah menjadi hak mereka untuk merebut jawatan berkenaan. Saya tidak akan mengatakan jangan lakukan itu dan ini. Ia tidak demokratik untuk memberitahu seseorang awak jangan bertanding. Mereka boleh bertanding, melakukan apa yang mereka suka. Jika mereka mendapat sokongan rakyat dan mereka patut dipilih, mereka akan terpilih," kata Samy Vellu.