Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Abang Botak hentak cermin kereta raya di penjara': Majistret khilaf - Peguam
Diterbitkan:  Jun 1, 2019 10:01 AM
Dikemaskini: 4:45 AM

Peguam Syahredzan Johan yang juga setiausaha politik kepada MP Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa hukuman khidmat masyarakat terhadap kesalahan setimpal.

Ini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Danial Abdullah Tan, 31 tahun selepas mengaku bersalah menghentak cermin kereta menggunakan topi keledar. Ia kesalahan pertama Danial.

Dia dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dan mengakibatkan kerosakan berjumlah RM25.

Pada asalnya, kesalahan itu diperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun parlimen memindanya pada hujung 2014 bagi mengehadkan budi bicara hakim dalam mempertimbangkan tempoh hukuman penjara, menjadikan minimum penjara selama setahun sehingga lima tahun, manakala hukuman denda sebagai pilihan masih dikekalkan.

Syahredzan, dalam kenyataan bersama Setiausaha Pemuda Dapsy Damansara Farhan Hazir Mohamed, berkata mereka mengecam tindakan Danial dan pembuli jalan raya perlu ditangani undang-undang.

"Kami merujuk kepada laporan media mengenai Daniel Abdullah Tan, atau lebih dikenali sebagai 'Abang Botak' melalui klip video yang tular, yang telah dikenakan hukuman atas kesalahannya memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, mereka percaya majistret terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman.

"Kami mengecam perbuatan tertuduh dan menyokong penggunaan undang-undang ke atas mereka yang melakukan kesalahan 'road bully' seperti yang terjadi di dalam kes ini.

"Pada masa yang sama, kami dengan segala hormatnya berpendapat bahawa terdapat kekhilafan pada keputusan puan majistret dalam mengenakan hukuman penjara tersebut.

"... tetapi kami merasakan bahawa adalah lebih sesuai sekiranya tertuduh dikenakan hukuman denda dan bukannya penjara, mengambilkira beberapa faktor mitigasi termasuklah pengakuan salah dan keinsafan yang dilaporkan ditunjukkan oleh tertuduh," kata mereka.

Tangguh hukuman, merayu

Semalam, dilaporkan Daniel yang bekerja sebagai pembantu stor kilang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri di penjara selepas Mahkamah Majistret di Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atasnya.

Danial didakwa melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerosakan pada bahagian cermin hadapan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 58, dengan cara mengetuk menggunakan topi keledar di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, pada 5.30 petang 28 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Syahredzan dan Farhan berkata Daniel boleh memohon untuk menangguhkan hukuman sehingga selesai rayuan, mengambil maklum Daniel telah melantik peguam ketika lelaki itu dijatuhkan hukuman.

Mereka berkata walaupun hukuman penjara sepadan dengan kesalahan itu, namun ia bukan penyelesaian yang sesuai dalam sistem keadilan jenayah negara.

Oleh itu, mereka menggesa pengembangan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan khidmat masyarakat sebagai hukuman, malahan menyebut bekas ketua hakim negara Richard Malanjum juga pernah mengutarakan cadangan ini.

"Kerajaan wajar meluaskan pemakaian hukuman khidmat masyarakat melangkaui peruntukkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah sahaja.

"Untuk makluman, Seksyen 293 membenarkan Mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarkat kepada ‘pesalah muda’, iaitu mereka yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun.

"Hukuman khidmat masyarakat ini bukanlah asing dalam sistem keadilan jenayah tanahir, tetapi ia perlu diperluaskan kepada pesalah-pesalah lain mengikut kesesuaian melalui pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah.

"Kami bersetuju dengan mantan ketua hakim negara, Richard Malanjum yang sebelum ini yang mencadangkan hukuman khidmat masyarakat sebagai usaha alternatif kepada hukuman pemenjaraan," kata mereka.

Rakaman kamera menunjukkan Daniel memecahkan cermin kereta itu tular selepas dimuatnaik ke dalam talian.

 [Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS