Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hentak cermin kereta: Lelaki akan sambut Aidilfitri di penjara
Diterbitkan:  May 31, 2019 5:29 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Padah menghentak cermin kereta dipandu seorang lelaki, seorang pembantu stor kilang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di penjara selepas Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atasnya.

Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Danial Abdullah Tan, 31, yang memakai kemeja-T kuning dan berseluar jeans biru, mengaku bersalah terhadap perbuatannya.

Tertuduh turut dilihat sebak selepas mahkamah memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap semalam (30 Mei).

Danial didakwa melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerosakan pada bahagian cermin hadapan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 58, dengan cara mengetuk menggunakan topi keledar di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, pada 5.30 petang 28 Mei lepas.

Dia dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Nur Rafiuddin Maswari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah hanya mengenakan denda ke atas anak guamnya atas alasan itu kesalahan pertama tertuduh dan dia juga perlu menanggung isteri serta dua anak berumur setahun dan tiga tahun.

"Kesalahan anak guam saya bukan dirancang tetapi secara spontan dan anak guam saya juga sebelum ini telah ditularkan nama sebenarnya, no kad pengenalan, muka, alamat tempat kerja dan rumah di media sosial menyebabkan dia dikecam oleh masyarakat," katanya dan menambah, tertuduh turut kesal dengan perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berikutan tindakan tertuduh yang telah menyusahkan mangsa.

"Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM600 selepas cermin hadapan keretanya pecah dan tertuduh yang telah berumur 31 tahun sepatutnya tahu membezakan yang mana baik dan buruk.

"Mahkamah juga kena tegas dalam menjatuhkan hukuman berat kerana kejadian 'road bully' kerap berlaku di Malaysia dan hukuman yang dijatuhkan adalah untuk beri pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya.

Nurshahira kemudian bertanyakan kepada Danial apa yang menyebabkan tertuduh melakukan perbuatan tersebut, dan lelaki itu menjawab dia bertindak sedemikian selepas motosikal yang ditungganginya dihimpit dan hampir dilanggar kereta mangsa.

Danial: Sebab itu saya himpit kereta dia (mangsa) untuk berbicara tapi dia tunjuk jari pada saya. Tindakannya itu menyebabkan saya terus bertindak bodoh dengan menghentak cermin keretanya.

Nurshahira: Apapun you kena sedar trauma yang dihadapi mangsa, tambahan pula di bulan puasa kamu lakukan perkara ini. Kamu patut berfikir panjang dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.”

Difahamkan perbuatan lelaki itu telah dirakam oleh mangsa menggunakan kamera 'dashcam’ dan rakaman video itu tular di media sosial sejak Rabu lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS