Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Najib Razak adalah “bos sebenar” bagi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) justeru pengaruhnya terhadap dana tersebut tidak dapat dinafikan.

Bekas CEO KWAP, Azian Mohd Noh berkata demikian ketika menjelaskan kuasa yang ada terhadap nota ditulis Najib berhubung permohonan SRC International Sdn Bhd bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM3.95 bilion pada 2011.

“Tiada keterikatan dari segi undang-undang, tapi saya tak boleh cakap perkara yang sama dari segi soal pengaruh'.

“Catatan dalam surat itu datangnya dari perdana menteri dan menteri kewangan, yang bertanggungjawab terhadap KWAP.

“Dia bos sebenar saya, jadi saya tak boleh nafikan, sedikit-sebanyak ada pengaruh,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaraya (TPR), Ishak Mohd Yusoff.

KWAP merupakan tabung kewangan yang memiliki nilai RM140 bilion dan menguruskan persaraan penjawat awam. 

Kumpulan itu memberikan pinjaman RM4 bilion kepada anak syarikat 1MDB ketika itu, SRC International dalam dua transaksi dengan nilai setara, antara 2011 dan 2012.

Berdasarkan carta organisasi di laman web dana itu, CEO, ahli lembaga pengarah dan panel pelaburan melapor secara terus kepada menteri kewangan.

Selepas pemeriksaan semula oleh Ishak, pasukan peguam bela Najib sekali lagi melakukan pemeriksaan balas terhadap Azian, dengan peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah cuba mendapatkan penjelasan sama ada pengaruh yang diperkatakan itu ‘ditelah sendiri’ (oleh Azian).

Shafee: Pengaruh ini, jika ada, adakah ia mengikut telahan (kamu) sendiri?

Azian: Kamu tanya pendapat saya?

Shafee: Tak, (soalan) ini bukan bertanyakan pendapat kamu.

Azian: (Soalannya adalah berkenaan) Sama ada saya terikat atau terpengaruh. Saya menjawab soalan itu (tadi).

Shafee: Saya akan perincikan. ‘Kamu tak boleh cakap tak ada pengaruh’. Adakah itu (pengaruh) ditelah sendiri oleh kamu?

Azian: Saya tak rasa ia perkara yang aneh untuk pekerja bawahan menerima permintaan daripada pegawai atasan.

Shafee: Hanya dalam (berdasarkan) kedudukan itu, sebab kamu kata dia bos sebenar kamu? Itu yang kamu kata (tadi).

Azian: Begitulah saya cakap tadi.

Shafee: Kerana hierarki dalam perhubungan?

Azian: Ya.

Shafee: Sebagai CEO yang bertanggungjawab, patutkah kamu membenarkan KWAP atau diri kamu sendiri untuk membuat keputusan yang salah berdasarkan ‘faktor pengaruh’?

Azian: Sebagai CEO, menjadi tanggungjawab fidusiari saya bagi memastikan KWAP tidak mengalami kerugian dalam pelaburan. Pengaruh (yang diperkatakan) adalah bagi memudahkan proses pinjaman.

Shafee: Oh begitu, bukan keputusan substantif, tetapi untuk memudahkan permohonan pinjaman. Kamu sebagai CEO KWAP sanggup membuat keputusan yang silap hanya kerana ‘pengaruh hierarki’ yang kamu perkatakan itu?

Azian: Saya ulang, tanggungjawab saya adalah untuk melindungi KWAP.

Shafee: Ya atau tidak?

Azian: Maaf, saya tak dapat jawab ya atau tidak kerana ia boleh disalah tafsir. Yang pasti, saya tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang dan akta.

Shafee: Saya rasa itu dah cukup bagus. Terima kasih banyak-banyak. 

Lihat Komen
ADS