Kementerian Kewangan tidak tahu menahu mengenai laporan The Star bahawa terdapat dua cadangan untuk membina sebuah lapangan terbang baru di Seberang Perai.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang juga "tidak tahu" berhubung laporan muka depan disiarkan akhbar itu hari ini.

"Sehingga kini, laporan The Star tersebut hanya menyebabkan kekeliruan di kalangan industri komunikasi dan pengangkutan kerana mereka tidak menyatakan siapa yang telah menghadiri atau menerima cadangan-cadangan tersebut.

"Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, dan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir kedua-duanya telah memberitahu saya bahawa mereka juga tidak tahu langsung tentang kedua-dua cadangan lapangan terbang seperti yang diuar-uarkan," katanya dalam kenyataan.

Hari ini, akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan dua syarikat menghantar kertas cadangan bagi dua projek lapangan terbang besar di tanah besar Pulau Pinang bernilai puluhan bilion ringgit.

Memetik sumber, The Star mendakwa kedua-dua kertas cadangan lapangan terbang baru itu akan menggantikan lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Baru dan menggugat cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dengan dibiayai oleh Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Lim berkata Ketua Menteri Chow Kon Yeow juga berkata bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak tahu mengenai perkara itu.

"Kelulusan daripada Pulau Pinang dalam hal ini adalah kritikal kerana ia melibatkan isu tanah," katanya.

Tambahnya, sebagai akhbar yang mengamalkan kewartawan bertanggungjawab, The Star yang dimiliki MCA juga tidak sepatutnya melakukan 'serkap jarang'.

"Spekulasi tidak berasas ini juga sangat tidak adil apabila ia memberikan tanggapan negatif bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara melulu tanpa memikirkan kerajaan negeri atau rakyat dengan mempertimbangkan projek sebesar ini yang melibatkan ribuan hektar tanah sawah atau 5,000 hektar tanah yang ditebus guna dari laut," katanya.