Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
JAS: Keputusan ujian sampel air Kuala Koh dua hari lagi

Jabatan Alam Sekitar (JAS) memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi bagi mengesahkan keputusan ujian sampel air dari perkampungan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Pengarah JAS negeri, Hamzah Mohamad berkata sampel air penempatan suku kaum Bateq itu sudah diambil pihaknya termasuk dari lombong bijih mangan berhampiran perkampungan tersebut.

"Kita mula mengambil sampel tandak air yang digunakan Orang Asli dan juga takungan lombong bijih sejak 9 Jun setiap hari untuk ujian lanjut.

"Setakat ini pihak Jabatan Kimia masih bertungkus lumus menjalankan kerja dan saya meminta mereka supaya dapat mengeluarkan keputusan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu ujian bekalan air di kawasan itu dibuat susulan dakwaan 14 kematian melibatkan penduduk Orang Asli di kawasan itu sejak awal bulan lalu dikhuatiri berpunca daripada pencemaran.

Setakat hari ini dilaporkan 50 orang lagi mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Krai dan Hospital Gua Musang dengan salah seorang kanak kanak berusia 3 tahun kritikal dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Sementara itu, Hamzah berkata pihaknya sudah membuat pemantauan secara rutin di kawasan itu bagi mengesan sebarang bentuk pencemaran.

Lihat Komen
ADS