Terjemahan Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan ahli perniagaan, Tan Seri Halim Saad hari ini mendapat kebenaran untuk memohon membatalkan kenyataan Hakim Gopal Sri Ram dalam keputusan penghakiman mengenai pertikaian antara Fawziah Holdings Sdn Bhd dengan Metramac Corporation Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar permohonan Daim dan Halim itu menegaskan keputusan memberi kebenaran kepada kedua-dua mereka memohon membatalkan kenyataan Hakim Gopal itu tidak akan menjejaskan kedudukan Fawziah Holdings dalam kes Fawziah Holdings dengan Metramac Corporation itu.

"Saya tidak fikir pelanggan anda (Fawziah Holdings) akan terjejas jika mahkamah membenarkan permohonan mereka (Daim dan Halim) untuk membatalkan kenyataan-kenyataan berkenaan," kata Ahmad Fairuz.

Hakim lain yang menganggotai panel Mahkamah Persekutuan itu ialah Hakim Pajan Singh Gill, Alauddin Mohd Sherif, Richard Malanjum dan Augustine Paul.

Dalam membuat keputusan tersebut, mahkamah juga bersetuju dengan permintaan peguam Fawziah Holdings, Dr. Cyrus Das yang mahukan perbicaraan permohonan membatalkan kenyataan Hakim Gopal itu dijalankan serentak dengan perbicaraan rayuan Metramac.

"Jika Metramac gagal dalam rayuan untuk mengenepikan penghakiman membayar gantirugi RM65 juta kepada Fawziah Holdings di Mahkamah Persekutuan, permohonan pemohon untuk membataklkan kenyataan Hakim Gopal akan diputuskan secara berasingan oleh mahkamah ini," kata Ahmad Fairuz lagi.

Mahkamah menetapkan rayuan Metramac didengar pada 27 Mac ini.

Daim dan Halim sedang berusaha membatalkan kenyataan Hakim Gopal dalam penghakimannya yang membenarkan tuntutan Fawziah Holdings mendapatkan gantirugi RM65 juta dari Metramac Corporation yang antara lain mendakwa kedua-dua mereka bersama rakan kongsi Halim, Datuk Anuar Othman telah melesapkan RM32.5 juta dari Metramac semasa mereka dinaungi oleh Daim yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan.

Ketika mendengar hujah peguam Daim, Cecil Abraham yang mengatakan pelanggannya tidak mendapat peluang untuk membersihkan nama baiknya, Ahmad Fairuz berkata, Daim boleh mengambil tindakan terhadap Hakim Gopal jika dia boleh membuktikan kenyataan itu berniat jahat. Berita asal