Guru tidak boleh rotan pelajar di khalayak ramai
Para pelajar sekolah tidak boleh dikenakan hukuman rotan di khalayak ramai apabila Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 dilaksanakan tidak lama lagi.
Para pelajar sekolah tidak boleh dikenakan hukuman rotan di khalayak ramai apabila Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 dilaksanakan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar berkata walaupun hukuman itu tidak dibenarkan dilaksanakan, masih terdapat sekolah yang menggunakan pendekatan itu untuk menghukum pelajar yang melanggar disiplin sekolah.
"Tidak ada peraturan yang membenarkan hukuman rotan di khalayak ramai. Melalui peraturan baru ini kita telah tetapkan hukuman untuk setiap kesalahan disiplin yang dilakukan pelajar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Anti-Buli peringkat kebangsaan di ibunegara hari ini.
Beliau berkata guru yang melaksanakan hukuman itu boleh dikenakan tindakan jika kementerian menerima aduan berhubung perkara itu.
Menurut laporan Bernama, peraturan yang menggantikan Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 1959 itu telah siap dan kini dalam proses terjemahan ke bahasa Inggeris.
"Selepas terjemahan, kita akan hantar draf itu ke Pejabat Peguam Negara dan selepas itu ia akan diwartakan," katanya.
Noh berkata Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 itu merangkumi kesalahan dan tindakan terhadap kesalahan disiplin yang dilakukan pelajar serta cara tindakan dilaksanakan.
"Dengan adanya peraturan ini, kita harap hukuman ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin akan dapat diselaraskan di seluruh negara," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Noh berkata hasil tindakan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin yang ditubuhkan pada tahun 2004, masalah disiplin pelajar telah menurun sebanyak 0.33 peratus kepada 1.74 peratus tahun lepas berbanding 2.07 peratus pada tahun 2004.
"Hasil tindakan jawatankuasa menangani gejala disiplin secara holistik, kita dapat lihat bahawa gejala disiplin pelajar sekolah secara keseluruhan telah menurun sebanyak 0.04 peratus daripada 2.11 peratus pada tahun 2003 kepada 2.07 peratus pada tahun 2004," katanya.
Noh berkata pada tahun lepas, sejumlah 80 aduan melibatkan disiplin pelajar telah direkodkan dengan 21 aduan diterima melalui hotline, e-mel (lima), surat (11) dan akhbar (43).
"Sejumlah 78 daripada aduan tersebut atau 97.5 peratus telah dapat diselesaikan manakala dua lagi masih dalam proses siasatan Jabatan Pelajaran melibatkan pihak polis," katanya.

