Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) hari ini berkata mereka kaan melihat semula kenyataan wakil unit terbabit yang menyatakan sokongan terhadap Sijil Peperiksaan bersama (UEC) semalam.

Pengerusi DHPP N Balasubramaniam langkah itu diambil agar ianya selaras dengan pendirian parti terhadap dasar pendidikan kebangsaan.

Kata Balasubramaniam, pada dasarnya DHPP menyokong dasar pendidikan kebangsaan sedia ada yang menjadi salah satu elemen ke arah membentuk perpaduan nasinoal melalui pendidikan.

Menurutnya DHPP juga menentang sebarang usaha untuk mewujudkan aliran pendidikan yang akan memecah-belahkan masyarakat.

"DHPP akan melihat semula isu ini supaya selaras dengan pendirian PAS Pusat yang saya yakin dibuat atas kepentingan negara,” katanya.

Semalam semasa membahas ucapan dasar presiden, wakil DHPP Kong Tuck Wah berkata DHPP menyokong UEC diiktiraf selain meminta semua pihak tidak menjadikan isu agama dan pendidikan sebagai alat politik atau bahan ugutan.

Sebelum menamatkan ucapannya Balasubramaniam sempat berpantun dengan memetik lagu Joget Pahang nyanyian Allahyarham P Ramlee.

Negeri Pahang aman sentosa,

Kaya dengan tumbuh-tumbuhan;

Niat di hati nak buat jasa,

Mudah-mudahan Tuhan makbulkan.


Terima kasih saya ucapkan,

Kerana kalian selalu membantu;

Jasa dan bakti jadi taruhan,

Akan kukenang setiap waktu.

Selepas menamatkan ucapannya itu, Pengerusi Tetap PAS, Che Husin Ismail, secara berseloroh berkata Balasubramaniam mungkin menjadi sebahagian daripada pemimpin ulama PAS.


Baca Sayap bukan Islam dalam PAS sokong UEC diiktiraf


Katanya Balasubramaniam adalah lepasan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (Ilham) PAS.

“Mana tahu satu hari nanti Mr Bala akan jadi sebahagian daripada AJK Dewan Ulama. Dengar cara dia bercakap, ada potensi, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Pusat PAS, Dr Halimah Ali, berkata PAS wajar mencontohi kejayaan sekolah vernakular di negara ini.

Penting utamakan perpaduan

Katanya, kaum minoriti Malaysia wajar diberi penghargaan kerana gigih memperjuangkan sistem sekolah vernakular sehingga turut menarik minat orang Melayu dan Islam untuk menghantar anak mereka ke situ.

“Walaupun minoriti, mereka bekerja keras - mereka menggembleng (tenaga), bersinergi, bersama-sama membangunkan sistem vernakular ini sehingga ada orang Melayu Islam pun turut menghantar anak ke SJKC, dan sedikit ke SJKT.

“Inilah yang patut kita lakukan. Kita ahli-ahli PAS, pimpinan PAS, aktivis pendidikan, perlu membuat rukun kejayaan yang telah mereka lalui itu.

“Kita mahu lihat di Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam), Striti (Sekolah Rendah Interasi Teras Islam), Smiti (Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam), dan KUIZM (Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad) - semua ini kita mahu naik taraf dan supaya ia mencapai satu piawaian tinggi sehingga orang ain akan tabik kepada kita,” katanya lagi.

Dr Halimah Ali

Saranan Halimah itu disuarakan sebagai respons terhadap pandangan wakil Muslimat PAS, Salamiah Md Nor, dalam perbahasan muktamar semalam, yang menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menamatkan sistem pendidikan vernakular di negara ini kerana mendakwa tidak membawa perpaduan antara rakyat.

"Maka Dewan Muslimat PAS meminta supaya menteri pendidikan mengambil tindakan agar sistem pendidikan vernakular dihentikan, kerana kita lihat sistem ini tidak mendekatkan jurang persefahaman antara kaum, malah ia tidak membawa kepada perpaduan," katanya.

Salamiah juga berkata Muslimat PAS tidak rela jika bahasa Mandarin dijadikan bahasa kedua di negara ini berbanding bahasa Arab.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, sekolah kebangsaan wajar dinaik taraf supaya menjadi sistem yang melahirkan umat yang berkualiti.

“Kita mahu sekolah kebangsaan menjadi sistem yang melahirkan generasi umat yang bukan berkelahi, bukan terjebak dalam gejala sosial, bukan sampai tak sedar gender sendiri, dan terikut-ikut dengan trend atau budaya kuning di luar sana.

“Sistem pendidikan yang akan melahirkan mereka yang faham apa itu perpaduan walaupun dalam masyarakat majmuk, ada Cina, ada India ada Melayu, kita ilmukan mereka supaya ada jati diri, boleh dan mahu dan mampu hormati antara satu sama lain,” katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS