Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | Di sebalik kritikan PAS terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), hari ini Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) secara terbuka menyatakan sikap sebaliknya.

Sambil menempelak sikap menteri dan timbalan menteri pendidikan, wakil DHPP Kong Tuck Wah berkata, pihaknya menyokong pengiktirafan sijil berkenaan.

"Kami di DHPP, kita sokong UEC," katanya ketika berucap pada sesi membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-65 di Stadium Tertutup Sukpa, Indera Mahkota dekat Kuantan.

Katanya isu agama dan pendidikan adalah isu sensitif dan ia tidak perlu digunakan sebagai senjata politik atau bahan ugutan.

Bagaimanapun Kong tidak mengulas panjang isu berkenaan selain mengajak semua pihak mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain termasuk dalam isu agama.

Untuk rekod , Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga kini tidak membuat sebarang keputusan muktamad untuk mengiktiraf UEC.

Mesyuarat jemaah menteri pada 29 Ogos memutuskan agar KPM menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti isu berkaitan UEC.

PH semasa menghadapi PRU tahun lalu berjanji untuk mengiktiraf UEC namun dikecam pelbagai pihak, terutama pembangkang.

Bagaimanapun untuk rekod BN - yang sebelum Mei 2018 masih menjadi kerajaan - juga berjanji untuk mengiktiraf sijil berkenaan jika diberi mandat untuk kekal di Putrajaya.

Kata Kong, dalam isu UEC Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilihat tidak sependapat dengan timbalannya Teo Ni Ching.

"Menteri pendidikan dan timbalannya tidak mempunyai pendapat yang sama terhadap UEC. Seorang cakap yes, seorang cakap no," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS