Malaysiakini
BERITA

Mat Sabu: Kritik kita terima, fatwa mengarut kita lawan

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jun 2019, 7:16 pagi

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau terbuka dengan kritikan daripada parti pembangkang sekiranya kritikan itu benar.

Namun, Menteri Pertahanan itu membidas pihak yang menggunakan "fatwa mengarut".

"Minggu ni fatwa wajib jatuhkan PH, minggu depan fatwa lain pula. Tahun depan fatwa lain pula. Itu parti fatwa.

"Segala kritikan kita ambil, kita kaji. Kalau kritikan itu benar kita baiki.

"Tapi kalau ada fatwa-fatwa mengarut itu, kita hindarkan, bahkan kita lawan parti yang selalu menurunkan fatwa itu kerana ia boleh merosakkan keharmonian yang ada di Malaysia," katanya dalam ucapan rumah terbuka Amanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan ketua dewan ulama PAS Nik Zawawi Salleh ketika menggulung perbahasannya di muktamar PAS baru-baru ini.

Nik Zawawi berpendirian bahawa wajib untuk kerajaan PH sekarang dijatuhkan.

Nik Zawawi berkata, tiada khilaf (pertikaian) mengenai hal itu dan menggesa parti itu tidak banyak menoleh ke belakang.

Susulan daripada kenyataan Nik Zawawi itu, Mohamad menyeru supaya partinya bekerja kuat.

"(Nak bagi) kritikan, sila. Nak kritik apa pun kepada saya, Amanah, PH, silakan. Tapi fatwa-fatwa mengarut ini akan kita hadapi, akan kita lawan. Insyallah kerajaan PH akan terus teguh," kata Mohamad.

Mohamad juga menyorot bahawa PAS sebelum ini pernah menyatakan bahawa mustahil PAS dan Umno akan bekerjasama.

Namun, kata Mohamad, perkara sebaliknya berlaku hari ini, apabila Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 meluluskan usul supaya pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama memeterai perjanjian politik dengan Umno.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan