TM kembangkan operasi antarabangsa ke India
Telekom Malaysia Bhd (TM) mengembangkan pelaburannya ke India dengan mengambilalih 49 peratus kepentingan di dalam Spice Communications Private Ltd, bagi menguasai pasaran selular dan teknologi mudahalih global.
Telekom Malaysia Bhd (TM) mengembangkan pelaburannya ke India dengan mengambilalih 49 peratus kepentingan di dalam Spice Communications Private Ltd, bagi menguasai pasaran selular dan teknologi mudahalih global.
Spice mempunyai operasi dalam dua daripada wilayah telekom paling lumayan di India -- Punjab dan Karnataka -- dengan asas pelanggan gabungan sebanyak 1.8 juta setakat Februari 2006 dan perolehan sebelum faedah dan cukai sebanyak 45.2 juta Dollar setakat Disember 2005.
"Dengan Spice sebagai sebahagian daripada keluarga TM, ia memperkukuhkan kehadiran serantau kami dan melengkapkan kehadiran kami sedia ada di Sri Lanka di mana kami adalah nombor satu, dan Bangladesh di mana kami adalah pengendali mudahalih nombor dua," Pengerusi TM Tan Sri Mohd Radzi Mansor berkata semasa taklimat media semalam selepas pelaksanaan perjanjian-perjanjian bagi pemilikan Spice.
Pemilikan itu, yang dibuat melalui syarikat pegangan pelaburan antarabangsa TM, TM International Sdn Bhd, membabitkan pembelian kepentingan yang dipegang oleh Deutsche Bank AG dan konsortium Ashmore Investment Management Ltd untuk pada harga 178.85 juta Dollar.
Baki 51 peratus masih kekal dengan pemegang kepentingan sedia ada, Mcorp Global Ltd dan sekutunya (Mcorp).
"Dengan Punjab sebagai negeri paling maju di negara itu dan Karnataka dikenali sebagai "Lembah Silikon" India, terdapat potensi yang amat besar untuk telefoni mudah alih dalam pasaran-pasaran ini. Kami optimis Spice akan menyumbang secara positif kepada prestasi keseluruhan TM tidak lama lagi," kata Mohamed Radzi.
Perbelanjaan modal
Ketua pegawai eksekutif kumpulan TM, Datuk Abdul Wahid Omar pula berkata ia akan membantu Spice dalam menyusun semula hutang sedia adanya sebanyak 215 juta Dollar.
Beliau berkata TM juga akan memberikan Spice perbelanjaan modal 40 juta Dollar dalam masa 12 bulan akan datang.
"TM mempunyai rizab tunai yang cukup untuk menyediakan bagi perbelanjaan modal dan harga pembelian Spice," tambah beliau.
Menurut pengerusi Mcorp dan Spice, Dr Bhupendra Kumar Modi, pasaran telefon mudahalih di Asia sedang berkembang pada kelajuan yang amat hebat.
"TM, dengan pelaburan besar di seberang laut di dalam pasaran-pasaran utama di Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja, adalah rakan kongsi strategik bagi Spice. Kami tidak sabar-sabar untuk mempertingkatkan kehadiran antarabangsa kami dengan TM," kata beliau.
Menurut beliau, Spice telah mengalami peningkatan hebat pelanggan-pelanggan kebelakangan ini, terutamanya bulan lepas dengan 100,000 pelanggan baru.
"Kami mensasarkan untuk mencapai asas pelanggan sebanyak tiga juta menjelang akhir tahun ini," kata beliau.
Beliau menambah bahawa Spice telah memohon lesen di enam wilayah telekom baru dan menjangka melancarkan perkhidmatannya menjelang akhir tahun ini.
Wilayah-wilayah baru itu terdiri daripada Jammu-Kashmir, Haryana, Rajasthan, Himaphal Pradesh dan Uttar Pradesh (Timur dan Barat).

