Semua tong gas LPG akan disertakan dengan pelekat tertera maklumat jumlah subsidi yang diberikan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah diminta untuk berbuat demikian bagi membolehkan rakyat mengetahui bahawa kerajaan memberi subsidi yang besar kepada setiap tong gas sehingga harganya masih rendah jika dibanding dengan harga pasaran.

Katanya kerajaan mendapati masih ramai rakyat tidak sedar bahawa subsidi yang diberi kerajaan adalah begitu besar.

"Jadi kerajaan putuskan bagi setiap tong gas LPG kita akan lekatkan jumlah subsidi kerajaan yang begitu besar. Semua akan tahu bila kita beli satu tong LPG, sebenarnya kerajaan telah sumbang subsidi pada setiap tong yang kita beli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wanita Felda 2006 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di ibunegara har ini.

Gas memasak satu tong 10kg kini diberi subsidi oleh kerajaan sebanyak RM14.60 dan harga sebenar ialah RM32.10.

Mengenai Felda, Najib berkata peruntukan RM50 juta tahun ini untuk menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada 7,000 anak peneroka bertujuan memberi peluang kepada mereka menimba kemahiran tambahan.

Sejumlah 20,415 anak peneroka Felda bakal mengetahui keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka pada Isnin, dan tidak semua akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, katanya.

Beliau berkata program latihan yang disediakan terbuka kepada mereka ini, bersama anak peneroka yang berumur 18-25 tahun lepasan PMR/SPM/STPM yang lain.

Beliau berkata ketika dimulakan tahun lepas, Program Latihan Kemahiran Generasi Baru Felda itu cuma mendapat peruntukan RM25 juta untuk melatih 5,295 anak peneroka.

Kursus yang disediakan termasuk bidang elektrikal, mekanikal, automotif, teknologi maklumat, katering, jahitan, rekabentuk dan kreativiti manakala kursus baru yang akan dipertimbangkan ialah pengurusan pertanian, kejururawatan, rekacipta dan kraftangan, petroleum dan gas, kejuruteraan laut dan kejuruteraan penerbangan.

Najib berkata antara matlamat program itu ialah melatih generasi baru Felda sebagai satu sumber modal insan yang penting kepada negara dan memberi peluang kepada generasi baru menggunakan kemahiran yang ada untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.