Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta Gangguan Seksual perlu rangkum kejadian di luar pejabat

Kisah gangguan seksual yang dikongsikan peguam-peguam wanita  menunjukkan bahawa gangguan seksual dalam bidang pekerjaan tidak hanya terjadi di tempat kerja, kata Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Kisah-kisah berkenaan dikongsikan susulan laporan polis oleh seorang peguam mendakwa dirinya diraba semasa majlis tahunan peguam jenayah bulan lalu.

Daripada kisah yang dikongsikan, didapati bahawa meskipun sesebuah firma boleh dipertanggungjawabkan atas kes gangguan seksual di premis pekerjaan, masih ada perkara yang tidak jelas yang terlepas daripada polisi syarikat berkaitan gangguan seksual.

Justeru, Pengurus Advokasi WAO Yu Ren Chung berkata, Akta Gangguan Seksual yang sepatutnya akan digubal - seperti yang dijanjikan oleh kerajaan - perlu merangkumi perkara berkenaan.

“Artikel Malaysiakini menggariskan dua perkara utama. Pertama, syarikat mesti menggalas tanggungjawab untuk melakukan langkah pencegahan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden gangguan seksual yang terjadi di tempat kerja mereka.

“Kedua, gangguan seksual juga berlaku di luar tempat kerja, dalam acara-acara tertentu yang berkaitan kerja, antara rakan dari syarikat lain, dan sebagainya.

“Akta itu mestilah merangkumi kes-kes gangguan seksual yang terjadi di semua jenis latar, bukan hanya apabila melibatkan majikan dan pekerja di sesuatu syarikat saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Peguam-peguam wanita memberitahu Malaysiakini bahawa kes gangguan seksual berlaku secara “berleluasa” dalam kalangan pengamal undang-undang dan mereka telah mencipta cara untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa seksual, khususnya dalam majlis sosial pengamal undang-undang.

Ini termasuk berkongsi senarai ‘peguam gatal’ yang pernah berkelakuan tidak sopan, supaya mereka dapat menghindarkan diri daripada terjebak dalam situasi yang tidak selamat.

Kaji selidik pada 2014 oleh Persatuan Peguam Wanita (AWL) dalam kalangan peguam di Kuala Lumpur dan Selangor mendapati satu daripada tiga responden mendakwa pernah mengalami gangguan seksual atau diksriminasi jantina.

Untuk rekod, responden kaji selidik itu terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Hal ini tetap terjadi meskipun Badan Peguam mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani aduan berkenaan gangguan seksual.

Peguam-peguam yang mendakwa diganggu memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak mengemukakan aduan kepada Badan Peguam kerana bimbang kerjaya mereka akan terjejas.

Mereka juga tidak yakin tindakan akan diambil terhadap pelaku memandangkan gangguan seksual dilihat sebagai kes yang sukar untuk dibuktikan.

Bukan semata-mata hukuman berat

Mengulas lanjut, Yu berpendapat, Akta Gangguan Seksual perlulah menjadi undang-undang sivil dan juga jenayah.

“Ini akan membolehkan kes-kes ditentukan atas imbangan kebarangkalian, berbanding berasaskan 'melangkaui keraguan munasabah' (semata-mata).

“Pendekatan ini mengutamakan pencegahan dan perlindungan, berbanding hukuman berat,” katanya lagi.

Yu turut menggesa firma, institusi pendidikan dan organisasi yang lain untuk mendidik masyarakat tentang gangguan seksual serta melaksanakan polisi untuk menanganinya.

Katanya, ia dapat dilakukan termasuklah dengan bekerjasama dengan organisasi seperti WAO untuk penganjuran bengkel berkenaan isu tersebut.

Yu turut mempelawa sesiapa yang pernah mengalami gangguan seksual dan memerlukan sokongan dan bantuan untuk menghubungi WAO melalui nombor telefon 03-7956 3488, atau melalui SMS/WhatsApp di nombor 018 988 8058.

Lihat Komen
ADS