Paling Popular
Terkini

Polis telah menahan seorang peguam berikutan laporan yang menuduhnya meraba punggung seorang peguam lain dan mengugut mangsa selepas diberi amaran supaya tidak menyentuhnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan pada Selasa lalu.

"Kami sudah merakamkan kenyataannya dan dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Menurut laporan yang difailkan pada malam Ahad lalu, pengadu yang berusia 33 tahun itu mendakwa suspek merabanya sebanyak dua kali semasa majlis  tahunan peguam jenayah di sebuah hotel di Petaling Jaya, pada malam sebelum itu.

Wanita berkenaan, yang mendakwa dirinya sebagai bekas timbalan pendakwa raya di Petaling Jaya, berkata dia memberi amaran kepada suspek apabila lelaki itu meraba punggungnya pada kali pertama dan kemudian menjauhkan diri daripadanya.

Walau bagaimanapun, dia mendakwa bahawa lelaki itu, yang dikatakannya mabuk itu, mengejarnya dan mula mengancam serta melemparkan kata-kata kesat kepadanya.

Suspek, dakwa pengadu, berkata bahawa dia tidak gentar walaupun wanita itu adalah bekas TPP.

Dia juga mendakwa beberapa tetamu lain yang hadir pada majlis itu menyaksikan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Zani berkata pihak polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat mencabul kehormatan seseorang itu.

Malaysiakini juga telah menghubungi presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor untuk mendapatkan ulasannya.

Lihat Komen
ADS