Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Abd Rahim akan letak jawatan pengerusi Amanah K'tan?

Selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah dikatakan bakal melepaskan jawatannya selaku pengerusi Amanah negeri.

Menurut sumber, keputusan itu diambil antaranya bagi membolehkan Wan Abd Rahim memberi tumpuan kepada tanggungjawab baru di Kafa.

"Selain itu beliau juga tidak mahu parti menerima tempias sekiranya sebarang isu membabitkan kepimpinannya dalam Kafa dibangkitkan kelak.

"Kita difahamkan beliau akan menyerahkan surat peletakkan jawatan kepada pejabat Amanah negeri dalam masa terdekat," kata sumber dalaman Amanah kepada Malaysiakini, hari ini.

Bagaimanapun kata sumber pihaknya tidak pasti siapakah pemimpin Amanah Kelantan yang bakal menggantikan tempat Wan Abd Rahim.

Terdahulu, Wan Abd Rahim yang juga pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dipilih sebagai presiden baru Kafa pada Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu, hari ini.

Beliau meraih 28 undi perwakilan berbanding pencabarnya Amril Aiman Abd Aziz yang mendapat 16 undi.

Sementara itu, difahamkan bekas speaker dewan undangan negeri (DUN) Kelantan itu menyatakan hasrat untuk berundur daripada jawatan pengerusi Amanah dalam mesyuarat bulan yang berlangsung 2 Julai lalu.

"Beliau menegaskan perkara itu dalam mesyuarat Amanah negeri 2 Julai lalu, sekiranya dipilih sebagai presiden Kafa.

"Beliau tidak mahu sekiranya sebarang isu berkaitan dengan jawatan di Kafa akan disabitkan dengan Amanah," tambah sumber yang enggan didedahkan namanya.

Sementara itu Wan Abd Rahim ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.

Bagaimanapun katanya, satu sidang media pertama selaku presiden Kafa akan diadakan malam esok. 

Lihat Komen
ADS