Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata cadangan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah diserahkan kepada Peguam Negara untuk dipertimbangkan daripada segi undang-undang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, keputusan akhir mengenai penubuhan suruhanjaya itu akan hanya dibuat selepas beliau menimbang pelbagai faktor lain termasuk pandangan umum.

"Memanglah itu satu cadangan tapi dalam melaksanakannya, apa juga perkara yang kita hadapi pada waktu ini yang datang bukan saja daripada pihak polis tetapi juga daripada orang awam yang masih memberi pandangan tentang perkara ini, saya perlu mengambil kira semua itu.

"Tak boleh kita menganggap bahawa tak perlu dipandang dan tak perlu diambil kira," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu kedudukan sebenar penubuhan IPCMC.

Penubuhan IPCMC adalah satu daripada 125 cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada Mei tahun lalu, bertujuan meningkatkan profesionalisme pasukan itu.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terbuka daripada tiga organisasi dalam pasukan polis iaitu Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Inspektor, Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Yang Diwartakan dan Persatuan Polis Pangkat Rendah.

Abdullah berkata setakat ini Peguam Negara telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak polis berhubung penubuhan IPCMC.

Mengenai tahap pelaksanaan 125 cadangan yang dikemuka oleh suruhanjaya diraja itu, Abdullah berkata 65 peratus telah dilaksanakan, 15 peratus akan dilaksana dan bakinya sebanyak 25 cadangan atau 20 peratus masih dalam perbincangan lanjut.

"Ini sebenarnya masih dalam perbincangan dan kajian lanjut kerana melibatkan pindaan kepada akta-akta seperti Undang-undang Pencegahan Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Polis 1967," katanya.

Prestasi PDRM

Beliau berkata ada juga cadangan itu melibatkan peruntukan yang besar seperti pembelian peralatan dan kelengkapan moden selain penambahan perjawatan, menyebabkan kerajaan terpaksa meneliti sebaik mungkin.

Kepada satu soalan tambahan Datuk Paduka Badruddin Amiruldin (BN-Jerai), Perdana Menteri berkata prestasi Polis Diraja malaysia amat membanggakan khususnya pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata pihak berkuasa keselamatan negara asing telah banyak kali menyatakan penghargaan kepada PDRM kerana membantu mereka menyelesaikan beberapa kes sebelum ini.

Contohnya ialah penghargaan oleh pemerintah Indonesia apabila PDRM berjaya membantu pihak berkuasa keselamatan negara itu menyelesaikan kes perdagangan membabitkan manusia.

"Mereka meminta PDRM mengambil tindakan secepat mungkin, dan dalam masa empat hari PDRM dapat mengesan dan mengambil tindakan. Jenayah ini dilakukan oleh warga Indonesia sebenarnya, dan Presiden Indonesia sendiri telah menyampaikan ucapan terima kasih dan tahniah kepada PDRM," kata Abdullah.

PDRM juga pernah membantu Scotland Yard menyelesaikan kes penipuan yang dilakukan oleh warga Malaysia di negara itu dan telah melarikan diri ke Eropah.

"Pihak polis kita berjaya mengesan orang ini dalam masa yang singkat dan membuatkan orang ini menyerah diri kepada pihak Scotland Yard untuk siasatan lanjut," katanya.

Perdana Menteri berkata bahawa semua itu membuktikan polis Malaysia amat cekap dalam melaksanakan tugas mereka.