Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Satu lagi kematian Orang Asli suku Batek dicatatkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan satu lagi kematian dicatatkan semalam membabitkan seorang wanita Orang Asli suku Batek di Hulu Terengganu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat jangkitan measles sebanyak empat orang.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata mangsa berumur 39 tahun itu sebelum ini dirawat di Wad Isolasi Hospital Hulu Terengganu sejak 29 Jun dan disahkan dijangkiti measles melalui ujian makmal.

“Mangsa didiagnoskan sebagai mempunyai tanda-tanda measles seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada jam 7.40 malam hari yang sama (8 Julai).

“Bedah siasat dijalankan untuk mengesahkan punca kematian. Hasil analisis bedah siasat belum diperolehi,” katanya dalam sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di Kuala Lumpur, hari ini.

Sejak wabak ini dilaporkan pada 3 Jun 2019, sehingga 9 Julai 2019 pagi, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan adalah sebanyak kes, ia di Kelantan (147 kes bergejala termasuk 3 kematian), Terengganu (23 kes bergejala, dengan satu (1) kematian) dan Pahang (8 kes bergejala, tiada kematian).

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini gangguan kesihatan di Pasir Gudang, Dzulkefly berkata setakat jam 8 pagi tadi satu kes baru dilaporkan.

Kata Dzulkefly, seorang pelajar telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Masai, Johor Bahru.

“Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial telah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap mangsa. Secara kumulatif, sehingga jam 8.00 pagi, 9 Julai, sejumlah 751 orang awam (termasuk kanak-kanak) telah menerima khidmat bantuan awal psikososial,” katanya.

Terdahulu Dzulkefly hadir merasmikan Pusat Latihan Simulasi dan Kemahiran (PLSK) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur.

PLSK yang dilancarkan itu dilengkapi peralatan simulasi terbesar dan lengkap di negara serta terkini di rantau Asia dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan secara latihan melalui simulasi.

Lebih 30 penganjuran kursus dan bengkel diadakan sejak tahun lalu membabitkan pembabitan enam negara luar sebagai peserta kursus.

Ia turut menawarkan kaedah latihan secara virtual, melatih dan mendidik kategori pengamal perubatan tanpa menggunakan pesakit, menawarkan perkhidmatan kepada semua hospital dan juga institusi luar atau badan bukan kerajaan (GLC) mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Lihat Komen
ADS