Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Koh, Amri: KDN umum 2 anggota baru pasukan petugas khas
Diterbitkan:  Jul 10, 2019 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Kementerian Dalam Negeri hari ini mengumumkan pelantikan dua anggota baru dalam Pasukan Petugas Khas ke atas Laporan Pendengaran Siasatan Awam Suhakam mengenai kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Dua anggota baru itu ialah Azian Umar yang merupakan Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan Roger Tan Kor Mee yang merupakan pengamal bebas undang-undang.

Azian menggantikan Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri dari Pasukan Petugas Khas itu susulan kebimbangan tentang keberpihakannya yang dibangkitkan keluarga Koh sebelum ini.

Roger pula merupakan anggota tambahan dari kalangan bukan Melayu seperti yang dipertimbangkan Menteri Dalam negeri Muhyiddin Yassin minggu lalu.

Dengan kemasukan dua ahli baru itu, Pasukan Petugas Khas berkenaan terdiri daripada tujuh anggota termasuk pengerusi.

Anggota lain ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Zamri Yahya; pengarah operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Bukhari Abdul Hamid; pegawai perundangan di Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria; dan setiausaha bahagian di Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri Mohd Russaini Idrus.

"Daripada keseluruhan anggota Pasukan Petugas Khas, hanya seorang dari PDRM iaitu Zamri (dari JIPS).

"Keanggotaan beliau adalah penting untuk membantu melicinkan perjalanan Pasukan Petugas Khas kerana JIPS mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memanggil mana-mana anggota polis tampil memberi keterangan," kata kenyataan media itu.

KDN turut menyatakan harapan agar Pasukan Petugas Khas itu dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap, beramanah dan berintegriti tanpa menimbulkan apa-apa prejudis atau syak wasangka daripada mana-mana pihak.

Suhakam pada 13 April lalu mendedahkan laporannya selepas inkuiri yang diadakan selama 18 bulan berhubung kehilangan individu berkenaan.

Laporan itu menyimpulkan bahawa polis Cawangan Khas terlibat dalam "kehilangan paksa" Koh dan Amri.

Susulan itu, pada Mei lalu, kabinet bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat hasil laporan Suhakam.

Koh, 64, diculik sekumpulan individu ketika sedang memandu di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Feb 2017, sementara Amri, 33, merupakan pengasas bersama pertubuhan kebajikan Perlis Hope, hilang pada 24 Nov 2016.

Lihat Komen
ADS