Barisan Nasional (BN) hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh PAS yang mencabar keputusan pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu.

Hakim Datuk Hassan Lah, semasa menolak bantahan awal calon BN, Hanafi Mamat, memutuskan bahawa fakta-fakta yang dikemukakan oleh PAS, walaupun ringkas, adalah mencukupi kerana ia dianggap separuh jenayah atau "quasi criminal".

Hassan bagaimanapun menolak sebahagian besar dakwaan yang dikemukakan PAS dan hanya menerima tiga bentuk dakwaan termasuk berlakunya sogokan dan penyamaran dalam pilihanraya kecil itu.

Menurut laporan Bernama, beliau kemudian menetapkan 3 hingga 6 April dan 17 hingga 20 April untuk mendengar petisyen itu.

Petisyen itu, yang difailkan oleh Setiausaha Pemuda PAS negeri, Mohd Ridza Zain, selaku seorang pengundi berdaftar di kawasan pilihanraya itu, menamakan Hanafi, pegawai pengurus pilihan raya Abdul Halim Ahmad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

PAS memohon agar mahkamah mengisytiharkan bahawa pilihanraya kecil itu sebagai tidak sah dan terbatal dengan alasan Hanafi dipilih secara tidak sah atas beberapa sebab iaitu terdapatnya gejala penyogokan, penjamuan, penyamaran, pengaruh tidak wajar, amalan rasuah, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, perlanggaran undang-undang pilihanraya serta perlanggaran Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Kemuka alasan

Selain itu, ia meminta pengesahan dan arahan di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, kos serta lain-lain relif yang difikirkan sesuai.

Pada pendengaran awal bantahan petisyen pilihanraya di Mahkamah Pilihan Raya di Kota Bharu pada 13 Mac lalu, BN mengemukakan beberapa alasan termasuk pihak pempetisyen PAS gagal menyatakan secara jelas mengenai tarikh waktu dan tempat berlakunya kesalahan yang didakwa.

Peguam PAS, Nasrul Mohamed ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya akan menyenaraikan semula saksi yang akan dipanggil mengikuti prosiding yang akan diadakan, bergantung kepada pertuduhan yang diterima mahkamah.

Sementara itu, Mohd Adhan Kechik yang mewakili Hanafi berkata pihaknya bersyukur sebahagian besar bantahan awal BN diterima.

Dalam pilihanraya kecil itu, Hanafi menang dengan majoriti 134 undi menewaskan Hanifa Ahmad (PAS) dan Datuk Ibrahim Ali (Bebas).

Hanafi diwakili 10 peguam diketuai Tan Sri Zaki Tun Azmi manakala PAS diwakili oleh 11 peguam diketuai Mohamad Ariff Yusof.