Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MH17: Ahli keluarga mangsa keliru pendirian k'jaan terhadap siasatan JIT
Diterbitkan:  Jul 12, 2019 9:53 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Ahli keluarga mangsa nahas MH17 mendakwa mereka keliru dengan kenyataan daripada para pegawai kerajaan Malaysia yang berbeza pendirian dengan siasatan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) mengenai tragedi pada 17 Julai 2014 itu.

Sekumpulan ahli keluarga kepada 31 mangsa nahas rakyat Malaysia menuntut pihak berkuasa berkaitan untuk memberikan mereka taklimat mengenai sebarang rancangan tindakan kerajaan mengenai kes ini.

"Pada 19 Jun, Pasukan Siasatan Bersama (JIT) mengumumkan empat suspek akan dijatuhkan hukuman kerana menembak jatuh MH17. Sejak pengumuman itu, wakil-wakil kerajaan Malaysia membuat beberapa kenyataan yang bercanggah dengan penemuan yang dibuat oleh JIT.

"Kenyataan sebegini telah menambah kekeliruan dan menyebabkan sesetengah ahli keluarga merasa terseksa," kata suatu kenyataan media yang dikeluarkan wakil peguam hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada pendedahan JIT bahawa pesawat Malaysia Airlines yang menerbangkan 238 penumpang dan 15 anak kapal itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika melewati ruang udara di timur Ukraine.

JIT mendedahkan empat suspek yang didakwa perancang utama insiden itu, tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov serta Leonid Kharchenko, seorang warganegara Ukraine akan dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh pada 9 Mac tahun hadapan.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa MH17 hari ini tidak menyebut secara khusus kenyataan yang mendatangkan kekeliruan itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 20 Jun lalu berkata dukacita dengan laporan terkini JIT berhubung insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17, di timur Ukraine pada 2014 yang bermotif politik sejak dari awal lagi.

Beliau melahirkan sikap skeptis dalam mempersalahkan pembabitan Russia.

"Sejak mula lagi, mereka mahu menuduh Russia dan kini sudah tentulah mereka kata mereka ada bukti siapakah orang itu. Perkara ini tidak masuk akal.

“Apa yang penting kita mahu bukti pembabitan Russia dalam kes ini, setakat ini tidak ada bukti, hanya cakap-cakap sahaja, kita mahu bukti kukuh daripada pihak penyiasatan," kata Dr Mahathir.

Belanda dan Australia sebelum ini mempersalahkan Russia dalam kejatuhan pesawat itu. Moscow yang dituduh menyokong dan membekalkan peluru berpandu kepada pasukan pemisah di Ukraine, bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Selanjutnya, kumpulan ahli keluarga mangsa nahas MH17 pada hari ini juga berkata kenyataan pegawai kerajaan juga bercanggah dengan pendirian wakil Malaysia di dalam JIT, Peguam Cara Negara 3, Mohamed Hanafiah Zakaria.

Menurut mereka lagi, Hanafiah berkata ketika sidang akhbar JIT memberitahu media Malaysia menyokong rumusan penyiasatan tersebut.

"Sepengetahuan kami, JIT satu-satunya badan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang lima tahun lalu ini bagi mencari kebenaran mengenai kejadian MH17 dan membawa pihak yang bertanggung jawab terhadap tragedi ini ke muka pengadilan.

"Dalam hal ini, disebabkan ketiadaan penyiasatan atau penemuan lain, kami suka untuk menyuarakan sokongan penuh kami kepada laporan JIT dan penemuan yang telah dibentangkan itu.

"Kami juga perlu menzahirkan ungkapan terima kasih dan penghargaan terhadap usaha JIT setakat ini," kata kenyataan itu lagi.

Kementerian Luar dilaporkan pada 20 Jun lalu menyebut Malaysia menghargai pengumuman Pasukan Siasatan Bersama dan kekal komited dalam proses JIT berkaitan laporan terkini penyiasatan dan penyelidikan perundangannya

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS