Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dukacita dengan laporan terkini berhubung insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17, di timur Ukraine pada 2014 yang bermotif politik sejak dari awal lagi.

Beliau menuntut supaya bukti dikemukakan dan bukan hanya keterangan dengar cakap, sebelum sebarang dakwaan dilakukan.

"Kami berasa sangat dukacita kerana sejak dari awal lagi, ia telah menjadi isu politik tentang bagaimana untuk menuduh Rusia berkaitan salah laku.

“Walaupun sebelum mereka siasat mereka sudah menuduh, sekarang mereka kata mereka ada bukti tetapi susah bagi kita untuk menerimanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) mendedahkan empat suspek iaitu tiga dari Russia dan seorang dari Ukraine adalah dalang utama menembak jatuh pesawat MH17 itu.

JIT turut menamakan semua suspek dikenali sebagai Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko, semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk (DNR) ketika kejadian.

Semua suspek akan didakwa di Mahkamah Jenayah Belanda (ICC), pada 9 Mac tahun depan.

Belanda dan Australia sebelum ini mempersalahkan Russia dalam kejatuhan pesawat itu. Moscow yang dituduh menyokong dan membekalkan peluru berpandu kepada pasukan pemisah di Ukraine, bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Mahathir hari ini melahirkan sikap skeptis dalam mempersalahkan terhadap Russia.

"Sejak mula lagi, mereka mahu menuduh Russia dan kini sudah tentulah mereka kata mereka ada bukti siapakah orang itu. Perkara ini tidak masuk akal.

"Kami mahukan bukti sabitan kesalahan, bagaimanapun setakat ini tidak ada bukti, hanya keterangan dengar cakap,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia menyatakan pendirian itu disebabkan dagangan minyak sawit dengan Russia, Dr Mahathir berkata itu perkara lain.

“Apa yang penting kita mahu bukti pembabitan Russia dalam kes ini, setakat ini tidak ada bukti, hanya cakap-cakap sahaja, kita mahu bukti kukuh daripada pihak penyiasatan," katanya.

Kepada soalan tentang kemungkinan Russia tidak mahu bekerjasama dalam siasatan itu, Mahathir berkata Malaysia hanyalah sebuah negara yang kecil dan tidak boleh berbuat apa-apa.

"Mereka boleh berkata apa saja, mereka boleh kata 'jika kami tidak menyukainya dan kami tidak bersetuju’ tiada apa yang kita (Malaysia) boleh buat," katanya.

Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang menyiasat serangan itu termasuk Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine.

Hari ini, kerajaan Russia membidas keputusan JIT semalam yang disifatkan sebagai tidak berasas serta sengaja ditimbulkan untuk memburukkan imej Russia di mata komuniti antarabangsa.

Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan menyesali keputusan yang dibuat JIT.

Pesawat MH17 milik Malaysian Airlines meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Dalam tragedi itu, semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Lihat Komen
ADS