Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Nahas MH17: Malaysia hargai laporan JIT
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 4:25 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Malaysia menghargai pengumuman Pasukan Siasatan Bersama (JIT) pada Rabu berkaitan laporan terkini penyiasatan dan penyelidikan perundangannya berhubung nahas penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines, yang ditembak jatuh lima tahun lepas dan meragut nyawa semua penumpang serta anak kapalnya.

Kementerian Luar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis menyebut Malaysia kekal komited terhadap proses JIT dan akan terus komited bagi memastikan bahawa proses itu adalah telus, boleh dipercayai serta berkesan.

“Pendekatan kami ialah rumusan mestilah dibuat berdasarkan bukti dan bukan bermotifkan politik. 

"Dalam hal ini, kami menggesa agar semua pihak bekerjasama dalam proses ini supaya kebenaran akan ditemui,” menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, dalam satu sidang akhbar di Belanda, JIT telah menamakan empat suspek yang akan didakwa berkaitan kematian 298 orang, yang merupakan penumpang dan kru penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines lima tahun lepas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Keadilan dan Keselamatan Belanda, perbicaraan kes itu dijangka bermula pada Mac 2020 di negara tersebut.

“Telah diputuskan bahawa mahkamah daerah the Hague akan mendengar kes itu, dan bahawa perbicaraan akan berlangsung di Kompleks Keadilan Schiphol,” menurut kenyataan yang diedarkan dalam talian.

Menurut laporan The New York Times berhubung sidang akhbar di Belanda pada Rabu, pasukan penyiasat yang diketuai Belanda itu telah mengumumkan pertuduhan terhadap Igor Girkin, bekas kolonel dalam FSB yang merupakan agensi pengganti KGB; serta Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, kedua-duanya bekerja dengan agensi perisikan tentera Rusia yang dikenali sebagai GRU.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa turut didakwa ialah Leonid Kharchenko, yang merupakan rakyat Ukraine namun mengetuai kumpulan pemisah disokong Rusia di bawah perintah Dubinsky.

Penerbangan MH17, yang berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol Airport, Amsterdam dan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, telah ditembak sebelum terhempas berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Nahas itu mengorbankan 298 orang, termasuk 15 anggota kru.

- Bernama

Lihat Komen
ADS