Ahli Parlimen BN tolak penubuhan IPCMC
Kira-kira 100 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana ia mahu dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk melemahkan pasukan polis.
Kira-kira 100 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana ia mahu dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk melemahkan pasukan polis.
Ahli Parlimen Seri Gading Datuk Seri Mohamad Aziz berkata, penubuhan IPCMC tidak perlu kerana PDRM sendiri bersetuju melaksanakan125 cadangan dari Suruhanjaya Penambahbaikan Polis.
Katanya, keputusan tersebut dinyatakan oleh rombongan ahli parlimen BN dalam perjumpaan dengan pengurusan kanan polis di Bukit Aman Isnin lalu.
"Seratus dua puluh lima cadangan terbabit, jika dilaksanakan sepenuhnya, sudah memadai untuk pasukan polis meningkatkan kualiti dan imej pasukan mereka.
"Jadi penubuhan IPCMC itu tidak lebih daripada alat yang akan digunakan oleh pihak tertentu untuk mendedahkan kelemahan pasukan polis," katanya yang hadir sama dalam pertemuan tersebut.
Mohamad berkata, rombongan Ahli Parlimen BN itu diketuai oleh Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Samad.
Mohamad berkata, kini kata putus mengenai cadangan penubuhan IPCMC itu terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Menurutnya, ahli Parlimen BN juga memberi beberapa cadangan kepada pengurusan polis untuk dipertimbangkan jika mereka menolak penubuhan IPCMC.
Pemuda Umno
Beliau berkata, pihaknya berpendapat pasukan polis telah melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan berkesan menjaga keselamatan negara.
Sebelum itu, Pergerakan Pemuda Umno juga menolak cadangan penubuhan IPCMC kerana berpendapat ia bertujuan untuk mencari kelemahan kerajaan.
Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim berkata, ada pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan dari penubuhan badan siasatan itu.
Sementara itu, DAP pula menyambut baik penubuhan IPCMC kerana ia berfungsi untuk memperbetulkan penyelewengan yang berlaku dalam pasukan polis.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, polis perlu mengakui bahawa penyelewengan dan salahguna kuasa masih berlaku dalam pasukan mereka dan seharusnya menerima baik penubuhan IPCMC.

