Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pasar Kurma Madinah yang terletak di King Faisal Road adalah antara tempat yang perlu dikunjungi jemaah haji untuk membeli kurma, manisan dan produk tempatan.

Pasar yang terletak berhampiran Masjid Nabawi atau Masjid Nabi kebiasaannya sangat sibuk dengan kehadiran jemaah haji dari seluruh dunia untuk membeli kurma sebagai buah tangan kerana Madinah terkenal dengan kurma berkualiti tinggi.

Abu Yahya, 48, seorang pemilik kedai di pasar yang lebih dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Souq Al Tumor’ berkata terdapat hampir 200 jenis kurma dijual di pasar itu dan kurma yang dibeli boleh dihantar terus ke negara pembeli.

“Pasar ini telah lama berada di sini dan seingat saya, ada yang berkata ia wujud sejak tahun 40an atau lebih awal lagi tetapi ia bermula dengan pasar petani dan ia kemudian berkembang seiring dengan industri kurma di Madinah.

“Dibuka kira-kira pada 5 pagi dan kebanyakan kedai ditutup sekitar 12 tengah malam tetapi ada juga kedai yang dibuka lebih lama. Rakyat Indonesia dan Malaysia adalah antara pembeli yang datang ke sini selain Turki, India, Pakistan dan Bangladesh, " kata pemilik kedai Al-Zohiri kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati kurma Ajwa dan Anbar berharga antara SR30 (RM33) dan SR100 (RM110) sekilogram; Safawi dan Suqae berharga antara SR15 (RM16.50) dan SR28 (RM30.8) sekilogram.

Ditanya cara memilih kurma berkualiti, Abu Yahya berkata kaedah terbaik adalah dengan merasa sendiri kurma yang ingin dibeli memandangkan pembeli boleh merasa pelbagai jenis kurma yang dijual di pasar itu.

“Cita rasa setiap orang tidak sama, setiap kurma juga tidak sama. Ada orang suka kurma Ajwa atau “Kurma Syurga” begitu juga dengan Kurma Safawi, beli kurma yang ada suka selepas merasainya,” katanya.

Bagi penulis, kurma Ajwa adalah yang terbaik dan dijual dengan harga SR40 (RM44) sekilogram.

- Bernama

Lihat Komen
ADS