Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu dibangkitkan terhadap pengurusan dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata pihaknya memandang serius Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dikeluarkan berhubung isu tersebut semalam.

Menurutnya, setelah mengambil alih pucuk kepimpinan negara pada Mei tahun lalu, KKMM menghentikan amalan pelantikan pegawai khas untuk menteri dan timbalan menteri menggunakan dana SKMM.

“Semua pelantikan pegawai khas semasa adalah mengikut waran perjawatan kerajaan yang diluluskan. Oleh itu, masalah (perkara yang dibangkitkan) tidak berterusan lagi.

“SKMM juga telah menghentikan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat bagi pihak menteri dan peruntukan tersebut dipindahkan kepada perbelanjaan operasi SKMM,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara itu mendapati Perbelanjaan Kumpulan Wang SKMM diurus secara tidak cekap dan tidak berkesan, khususnya berkaitan perbelanjaan di bawah arahan menteri kerajaan terdahulu.

Hal itu termasuk perbelanjaan bagi 12 program tanggungjawab sosial korporat SKMM sebanyak RM12.81 juta di bawah arahan menteri.

Tingkatkan promosi Fimi

Antaranya membeli 50,000 naskhah buku mengenai Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, berjudul Predictive Analytics on Sungai Besar by-election, dan program rumah terbuka Parlimen Hulu Terengganu.

Laporan itu membuat audit ke atas penyata kewangan SKMM bagi tahun berakhir 31 Dis 2015, 2016 dan 2017.

Laporan itu turut menyentuh pelantikan sembilan pegawai khas kepada menteri dan timbalan menteri pada 2016 hingga Jun 2018.

Sementara itu, Gobind berkata KKMM juga mengambil maklum mengenai teguran audit berkaitan dengan pengurusan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (Fimi) di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya tindakan administratif sedang diambil Finas bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata ini termasuk meningkatkan promosi terutamanya di peringkat tempatan selain daripada peringkat antarabangsa bagi meningkatkan kesedaran terhadap Fimi.

“(Finas juga akan) menambah baik struktur permohonan dan pembayaran rebat untuk memudah cara urusan yang berkenaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS