Malaysiakini BERITA

Azmin dan saya masih satu pasukan, kata Anwar

Geraldine Tong

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketika pergolakan dalaman PKR dilihat memecahkan ahli parti itu kepada dua kem berasingan, presidennya, Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau dan timbalannya Mohamed Azmin Ali masih dalam "satu pasukan".

"Azmin adalah timbalan presiden. Kami perlu bekerjasama sebagai satu pasukan, mengadakan mesyuarat dan perbincangan secara tetap.

"Ia adalah satu pasukan. Beliau (Azmin) mendapat mandat dalam pilihan raya parti (sebagai timbalan presiden)," kata Anwar dalam sidang akhbar di pemukiman PKR di Port Dickson hari ini.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada beliau akan bekerjasama dengan Azmin untuk menangani masalah dalam parti bagi mengukuhkan PKR.

Pemukiman PKR diadakan di Port Dickson bermula jumaat lalu, dengan 120 daripada 140 wakil yang dipilih hadir.

Pemukiman itu berlangsung ketika PKR sedang dibelenggu pergolakan dalaman susulan klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Kenyataan Anwar bahawa Azmin perlu meletakkan jawatan sekiranya klip video itu tulen menyebabkan penyokong kedua-dua pemimpin parti itu berbalas kenyataan mempertahankan kem masing-masing.

Semalam, Azmin tidak hadir pemukiman itu meskipun dijadualkan untuk berucap.

Sepanjang pemukiman berlangsung, beberapa pemimpin parti yang berada dalam kem Azmin pada pemilihan parti itu tahun lalu turut tidak hadir, antaranya Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, dan Ketua Wanita PKR Haniza Talha.

120 pemimpin parti sokong Anwar

Sementara itu, dalam sidang medianya, Anwar berkata kesepakatan dalam parti itu adalah untuk "bergerak meninggalkan" masalah dalaman parti, yang digambarkan sebagai masalah kecil namun sengaja dibesar-besarkan.

Kata Anwar, PKR seharusnya memberi tumpuan kepada isu-isu mengenai rakyat.

Pemukiman itu berakhir dengan resolusi yang ditandatangani oleh 120 hadirin yang menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai presiden parti.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata resolusi itu akan diteruskan kepada baki 20 yang tidak hadir dan Anwar berkata mereka akan diberi ruang untuk meneliti resolusi itu sebelum menandatanganinya.

Saifuddin kemudian memberitahu wartawan bahawa kali terakhir beliau bercakap kepada Azmin mengenai pemukiman itu adalah pada hari Jumaat.

Jelas Saifuddin, Azmin ketika itu memberitahu bahawa dia tidak akan dapat hadir kerana "komitmen sebelumnya".

"Saya fikir saya telah melakukan tugas saya, saya mengeluarkan notis, saya buat susulan, saya menghubungi pejabat. Saya sudah cuba yang terbaik.

"Tetapi akhirnya, apabila dia (Azmin) berkata dia mempunyai komitmen lain, saya perlu menghormati itu," katanya.

Sejak semalam, Anwar dilihat mengendurkan pendiriannya terhadap Azmin berhubung isu sklip video seks itu, selari dengan gesaan bersama presiden PKR itu dan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad agar konflik dalaman itu ditamatkan.

Menyahut perkembangan siasatan polis, Anwar malah berikrar akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat ahli parti yang terlibat dalam isu klip video seks itu.

Siasatan polis setakat ini sudah mengesahkan ketulenan klip video berkenaan, namun hasil proses pengecaman wajah adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

Azmin dituduh sebagai salah seorang individu yang dipaparkan dalam klip video seks sejenis itu. Tuduhan itu dilontarkan oleh bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Hazir Abdullah Abdul Aziz.

Haziq mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video itu, sementara Azmin menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah "plot jahat" dari dalam parti untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.