Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar kendurkan pendirian terhadap Azmin
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini berpandangan bahawa sekiranya klip video seks yang dikaitkan dengannya Mohamed Azmin Ali terbukti tulen, timbalannya itu perlu meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, dalam kenyataan media hari ini, Anwar dilihat mengendurkan pendiriannya berhubung isu itu, dan sebaliknya menyambut baik penafian Azmin.

"Sambil mengambil maklum bahawa siasatan polis masih lagi berjalan, dan setakat kenyataan Ketua Polis Negara semalam, PKR menerima baik kenyataan bahawa Azmin tidak terlibat dalam satu video yang disebar baru-baru ini

"Berkenaan dakwaan terdapat ahli atau pemimpin parti politik yang terlibat dalam tindakan sebaran video tersebut, PKR tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti jika terdapat penglibatan mana-mana anggota PKR yang disabitkan kesalahan berlandaskan undang-undang," kata Anwar dalam kenyataan selaku presiden PKR.

Isu klip video seks itu dilihat memecahkan PKR kepada kem berbeza antara penyokong Azmin dan Anwar.

Bagaimanapun, dalam kenyataan di pemukiman PKR di Port Dickson semalam - yang tidak dihadiri Azmin - Anwar bersama Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad menggesa pergeseran yang kian memuncak dalam parti itu ditamatkan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 18 Julai lalu berkata klip video seks yang menjadi kontroversi itu dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.

Hamid berkata siasatan mereka juga mendedahkan wujud "pakatan jahat" yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan individu tertentu.

Khamis lalu, Hamid mengesahkan klip video itu sebagai tulen berdasarkan analisis Cybersecurity Malaysia, namun proses pengecaman wajah adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

Azmin dituduh merupakan salah seorang individu yang dipaparkan dalam klip video seks sejenis itu. Tuduhan itu dilontarkan oleh bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Hazir Abdullah Abdul Aziz.

Haziq mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video itu, sementara Azmin menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah "plot jahat" dari dalam parti untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

Lihat Komen
ADS