Halangan untuk mendaftar persatuan
Terjemahan Apa ada pada nama? Semuanya...sekiranya apa yang sedang dan telah berlaku di Malaysia boleh dijadikan sebagai panduan.
Terjemahan Apa ada pada nama? Semuanya...sekiranya apa yang sedang dan telah berlaku di Malaysia boleh dijadikan sebagai panduan.
Sesi perbincangan meja bulat mengenai Artikel 10 Perlembagaa Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan semalam diberitahu bagaimana penggunaan 'nama' tertentu menyebabkan permohonan untuk mendaftarkan pertubuhan dan parti politik, telah ditolak.
Dan usaha berterusan dan tidak jemu-jemu Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak lapan tahun lalu, manakala Amnesty International Malaysia (AIM) pula sejak 15 tahun lalu, untuk mendaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan, merupakan dua contoh klasik.
Setiausaha penaja PSM, S Arutchelvan menjelaskan peranan yang dimainkan oleh perkataan "sosialis" dalam permohonan untuk mendaftarkan sebuah parti politik.
"Kami diberitahu, ia akan mengambil masa 4-6 bulan untuk mendaftar sebuah parti politik walaupun piagam pelanggan Pendaftar Pertubuhan secara jelas menyatakan, tempoh empat bulan itu sekiranya semua dokumen lengkap dikemukakan mengikut peraturan.
"Sejak 1994, sebanyak 23 permohonan dikemukakan untuk menubuhkan parti politik. Daripada jumlah itu, 11 permohonan ditolak tanpa diberi sebarang sebab, dua diterima manakala bakinya tidak diketahui kedudukannnya," katanya.
Malah, katanya, pegawai ROS menasihatkan mereka supaya mengambil jalan pintas dengan memilih mana-mana nama parti politik yang sudah berdaftar tetapi tidak lagi aktif dan menukar namanya.
Penilik nasib
Menurut Arutchelvan lagi, bagi memenuhi peruntukan Akta Pertubuhan 1966 seperti frasa "budibicara mutlak" dan "pada pandangannya" maka menteri berkenaan perlu berperanan seperti seorang "penilik nasib".
Akta tersebut memberi kuasa kepada menteri dan pendaftar untuk menolak permohonan sekiranya persatuan tersebut "dilihat" tidah sah di segi undang-undang" atau "berkemungkinan" disalahgunakan, lalu menjadi ancaman kepada keselamatan negara, moraliti, keamanan dan ketenteraman awam.
"Pindaan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad) pada 1981-1982 telah memaksa parti-parti (politik) menyatakan dengan jelas kecenderungan politik mereka.
"PSM adalah parti politik pertama yang membawa Kementerian Dalam Negeri ke mahkamah berhubung isu hak berpersatuan," katanya.
Sambil memetik satu mukadimah di Mahkamah Tinggi, Arutchelvan berkata, hakim berkenaan secara sinis merujuk kepada perkataan 'sosialis' dan berkata "ia mungkin kerana namanya...mungkin mereka tidak suka nama anda".
"PSM pastinya bukan parti pertama dan juga yang terakhir. Banyak parti-parti (politik) sebelum kami yang diisytiharkan haram kerana mereka tidak berkongsi inspirasi parti pemerintah," katanya.
Menurutnya, tiga parti politik ditubuhkan dalam tempoh dua minggu untuk menyingkirkan pengaruh Parti Bersatu Sabah di negeri itu selepas ia keluar daripada Barisan Nasional pada 1990.
Dwi-standard
"Begitu jelas sekali berlakunya dwi-standard. Contohnya, Parti Progresif Sabah didaftar dalam tempoh 24 jam pada 1994.
"Satu lagi contohnya ialah ketika Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Umno haram pada 1988. Percubaan dua bekas Perdana Menteri untuk mendaftar Umno Malaysia telah gagal, tetapi Mahathir dan (Tun) Ghafar Baba dapat pula mendaftar Umno Baru," katanya.
Rayuan PSM terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri menolak permohonan pendaftarannya, akan didengar pada 10 April depan.
Pada realitinya, tegas Arutchelvan, hak untuk menubuhkan sesebuah persatuan adalah merupakan satu kuasa eksekutif.
"Ianya bukan dalam tangan individu, program, ahli, borang permohonan atau peraturannya. Semuanya adalah terletak di tangan menteri." katanya.
Beliau mencadangkan agar proses pendaftaran itu dipermudahkan, dengan menjadi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai badan pendaftaran, dan mencegah kuasa berlebihan kepada ketua pengarah kesatuan sekerja, menteri pelajaran, menteri sumber manusia dan menteri hal-ehwal dalam negeri.
Guna Suhakam
Dalam perbincangan tersebut, pengerusi biro aduan awam dan inkuiri Suhakam, Prof Mohd Hamdan Adnan menggesa mereka yang telah dinafikan hak untuk menubuhkan persatuan, supaya membuat aduan kepada suruhanjaya itu.
"Adalah penting untuk terus mengenakan tekanan terhadap pihak berkuasa dan sebagai peringatan kepada agensi berkaitan. Ramai yang merasakan pentadbiran sekarang bersikap terbuka, tetapi semua itu mesti dibuat secara bertulis," katanya, sambil menambah para pelajar mesti dibenarkan mendaftar pertubuhan mereka sendiri.
Dari sudut perundangan pula, Peguam hak asasi manusia, Amer Hamzah Arshad berkata, jika sekatan tersebut menjejaskan atau kelihatan menjejaskan sesuatu hak, maka ia adalah bertentangan dengan perlembagaan.
"Bagaimana boleh anda mengatakan, jika sebuah parti politik yang memperjuangkan keadilan sosial dan demokrasi didaftarkan, ia boleh mengancam keselamatan negara? Mahkamah mesti mengambil pendekatan yang liberal apabila mentafsir hak-hak dalam perlembagaan," katanya.
Menurutnya, salah satu cara untuk menangani kebuntuan dalam isu pendaftaran ini ialah dengan mencabar pihak berkuasa di mahkamah dengan memohon semakan kehakiman.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia (AI) , Josef Roy pula menyalahkan sekatan dalam akta tersebut, ketika berkongsi perjuangan dan pengalaman selama 15 tahun untuk mendaftar AI. Kerana tidak mahu terus menunggu begitu lama, maka AI didaftarkan sebagai badan perniagaan pada 1999.
"Tetapi kami masih berusaha untuk didaftarkannya sebagai sebuah pertubuhan. Kita akan menfailkan permohonan keempat pertengahan tahun ini apabila kami menyiapkan semua dokumennya," katanya sambil berkata, hanya 100 daripada hampir 30,000 pertubuhan yang didaftarkan pada 1998 merupakan badan bukan kerajaan.
Langkah terpaksa
Bagi mengelak sekatan tersebut, beliau berkata, ramai yang mengambil keputusan untuk mendaftar sebagai badan perniagaan supaya mereka dapat meneruskan aktiviti harian dan menjana sumbangan dana.
"Tetapi itupun juga menimbulkan masalah...satu daripadanya ialah kegagalan mendapat permit untuk menjana sumbangan dana asing serta berdepan dengan tuduhan menjadi ejen asing," katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Syed Shahir Syed Mohamud pula bercakap mengenai perjuangan lebih 30 tahun pekerja sektor elektronik untuk mendapatkan pengiktirafan.
"Hingga sekarang, kerajaan masih tidak mengesahkan Konvensyen 87. Tambahan pula, dalam era globalisasi, proses penstrukturan korporat dan perubahan dalam pengurusan dan pertukaran nama syarikat, sudah menjadi satu kebiasaan.
"Tetapi ia menyukar kesatuan sekerja kerana mereka tidak boleh berterusan menukar nama setiap kali nama syarikat ditukar, umpamanya dalam kes Haris di mana enam kali pertukaran nama terpaksa dilakukan, sehinggalah kesatuan itu ditutup," katanya.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berulangkali mengecam Malaysia kerana tidak melepaskan kawalan eksekutif terhadap kesatuan sekerja apabila enggan mengesahkan Konvensyen 87 mengenai kebebasan berpesatuan
Kerajaan telah secara terbuka menyatakan tidak akan tunduk terhadap tekanan daripada badan buruh dunia itu.
Perakuan ILO itu bertujuan untuk menyelaras undang-undang buruh dan standard antarabangsa berikutan aduan dari MTUC sejak 15 tahun lalu, tetapi kerajaan tidak mengendahkannya.
Wakil badan hak asasi manusia dan pelajar universiti juga turut berkongsi masalah yang mereka hadapi dalam usaha menubuhkan dan mendaftarkan persatuan.
Perbincangan meja bulat itu yang dihadiri oleh kira-kira 30 peserta, dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Hak Asasi Manusia Malaysia, Elizabeth Wong. Berita asal

