Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Masih ada harapan pulihara Harimau Malaya - Siti Hasmah

Penemuan empat ekor anak harimau di sekitar Taman Negara baru-baru ini menumbuhkan harapan terhadap usaha kerajaan untuk memulihara spesies haiwan liar terancam itu, kata Penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya, Dr Siti Hasmah.

Beliau yang juga isteri perdana menteri meminta semua rakyat Malaysia supaya bekerjasama untuk menjayakan program pemuliharaan hidupan liar yang hampir pupus itu.

"Penemuan anak harimau (liar itu) adalah harapan baru untuk kerajaan teruskan usaha memelihara Harimau Malaya daripada pupus.

"Harimau Malaya perlu dilindungi daripada kepupusan kerana haiwan itu terdapat di dalam lambang negara untuk melambangkan kekuatan," kata beliau juga penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya.

Siti Hasmah meletakkan sasaran penambahan populasi Harimau Malaya meningkat menjadi 500 ekor dalam masa lima tahun akan datang.

Berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan pada 2016 hingga 2018, spesies Harimau Malaya diancam kepupusan dalam masa sepuluh tahun lagi.

Populasi haiwan itu di habitat liarnya kini berada pada tahap membimbangkan dengan kurang 200 ekor sahaja yang dikesan.

Beri makan harimau muda

Terdahulu, Dr Siti Hasmah turut berkongsi pengalamannya bersemuka dengan harimau.

"Saya memang bercita-cita untuk bersemuka dengan harimau kerana harimau merupakan simbol keberanian. Tetapi, dinasihati jangan berbuat demikian kerana harimau merupakan kucing besar.

"Paling dekat saya bersemuka di Taman Tema Tambun. Saya terasa teruja ketika memberi makanan kepada seekor harimau muda apabila ia menjilat tapak tangan saya," ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pernah berhasrat untuk memeluk tiga ekor anak harimau yang lahir di Zoo Negara pada 1 Mei lepas.

Siti Hasmah diberikan penghormatan memberikan nama kepada tiga ekor anak harimau berkenaan.

"Dua ekor jantan saya namakan Wira dan Hebat, semantara anak harimau betina saya namakan Melur.

"Tetapi, ketika saya melawat Zoo Negara minggu lepas, anak harimau tersebut sudah berusia tiga bulan. 

"Tingginya lebih kurang tiga kaki dan mula mengaum ketika melihat saya. Jadi saya tak dapat peluk," tambahnya lagi.

Siti Hasmah berkata demikian ketika melancarkan majlis Sambutan Hari Harimau Sedunia anjuran Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) di Hotel Le Meridien, Putrajaya hari ini,

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, pengasas AirAsia Tony Fernandes serta wakil daripada NGO, syarikat korporat dan agensi-agensi kerajaan.

Harimau Malaya diancam kepupusan dan berdasarkan kepada awal survei Harimau Kebngsaan 2016-2020 populasi Harimau Malaya berada pada tahap sangat membimbangkan iaitu adalah kurang daripada 200 ekor.

Dalam pada itu, KATS turut melancarkan Tabung Selamatkan Harimau Malaya mengutip dana RM1.34 juta daripada syarikat korporat, NGO, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Long dan juga kutipan daripada kakitangan kementerian itu.

Tabung tersebut merupakan sarana kepada semua pihak termasuk syarikat-syarikat korporat dan individu-individu supaya dapat bersama-sama menyumbang dalam membantu menggerakkan kempen selamatkan harimau malaya.

Terdahulu, dalam ucapan aluan, Dr Xaxier berkata kementeriannya sedang membangunkan Pusat Perlindungan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Lanchang, Pahang seluas 80 hektar bagi tujuan penyelidikan dan pemuliharaan semula Harimau Malaya sebelum dilepaskan ke hutan-hutan terpilih.

"NTCC akan menyokong program pembiakan Harimau Malaya dalam kurungan sebelum dilepaskan ke habitat asal. NTCC dijangka siap pada penghujung tahun 2019," katanya.

Tambahnya, Jabatan Perhilitan telah melaksanakan operasi penguatkuasaan khas yang dinamakan Ops Belang melibatkan operasi kawalan dan rondaan penguatkuasaan sepenuh masa yang melibatkan seramai 200 orang anggota Jabatan Perhilitan di 20 kawasan habitat utama Harimau Malaya.

Terdahulu, pada majlis itu, ditayangkan klip video dengan dua rakaman berbeza menunjukkan anak harimau sedang bermain-main dengan ibunya.

"Penemuan empat anak harimau di Taman Negara baru-baru ini merupakan satu tanda positif," kata Jayakumar.

Bagaimanapun, KATS tidak mendedahkan lokasi penemuan anak-anak harimau tersebut kerana mungkin akan diburu oleh pemburu haram.

Sambutan Hari Harimau Sedunia bermula sejak tahun 2010 sebagaimana dipersetujui oleh 13 pemimpin 'Negara Dalam Kawasan Harimau' yang menghadiri sidang Global Tiger Summit di St Petersburg, Rusia pada Oktober 2010.

Untuk rekod, Harimau Malaya merupakan salah satu daripada enam spesies harimau yang masih belum pupus di habitat semula jadi.

Selain itu terdapat lima lagi spesies iaitu Harimau Siberia, Harimau Bengal, Harimau Indo-China, Harimau China Selatan dan Harimau Sumatera yang kini cuma tinggal 3,300 ekor sahaja yang hidup liar.

Harimau Bali, Harimau Jawa dan Harimau Caspian telah pupus sepenuhnya akibat aktiviti pemburuan dan perdagangan haram.

Lihat Komen
ADS